Speaker puji komuniti luar bandar tubuh pusat sumber alam sekitar

BUKIT TAMBUN – Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang berharap lebih banyak kawasan luar bandar menubuhkan pusat sumber alam sekitar, sebagaimana inisiatif komuniti Perkampungan Valdor mengasingkan sisa organik dan barangan kitar semula di sini.

“Saya cukup berharap bahawa semua ahli JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) selepas ini merancang dan mencari jalan macam mana kita boleh meningkatkan lagi kadar peratusan barangan kitar semula,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun pada Majlis Pembukaan Pusat Sumber Alam Sekitar Perkampungan Valdor di sini 17 September lalu.

Choo Kiang dalam pada itu turut memuji pentadbiran Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang mensasarkan Seberang Perai diiktiraf sebagai Bandar Rendah Karbon pada tahun 2022.

Menurutnya, kadar kitar semula pada 2022 mesti mencapai tahap 70 peratus untuk mencapai sasaran pentadbiran MPSP, walaupun 42.60 peratus kadar kitar semula pada tahun lalu sebenarnya adalah tertinggi di tanah air ini serta melepasi 10.5 peratus yang ditetapkan peringkat kebangsaan.

“Walaupun sasaran 70 peratus ini begitu tinggi, tetapi untuk mencapai status Bandar Rendah Karbon, semua pihak termasuk komuniti penduduk kampung mesti melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, yang telahpun dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu,” jelasnya.

Sebelum itu, Rozali ketika berucap menyatakan bahawa 42.60 peratus kadar kitar semula bagi seluruh negeri Pulau Pinang pada 2016 menunjukkan angka peningkatan, berbanding 39.64 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, partisipasi komuniti kampung dan desa menubuhkan pusat sumber alam sekitar setempat sekaligus menyumbang kepada usaha menjimatkan kos pengurusan sisa MPSP.

“Usaha ini dapat membantu MPSP mengurangkan kos pengurusan sampah yang mana pada tahun 2016 sahaja, jumlah lebih RM8 juta (RM8,766,971.90) bagi 434,008.51 tan sampah yang dihasilkan di seluruh Seberang Perai dibelanjakan dan dihantar ke Tapak Pelupusan Pulau Burong.

“Dengan adanya kesedaran tentang kos pelupusan sampah yang tinggi, adalah diharapkan para penduduk Seberang Perai bersama-sama MPSP mengurangkan kos dengan bersama-sama melaksanakan amalan kitar semula sampah iaitu menjadikan suatu bahan yang boleh digunakan semula,” seru Rozali.

Hasil penjimatan kos pengurusan sampah MPSP, menurut beliau, boleh digunakan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan awam lain bagi penduduk Seberang Perai.