Spesis terancam ditanam bentuk taman poket arboretum

PENANAMAN SEMULA… Spesis pokok terancam dikenali Cleistanthus Maingayi buat pertama kalinya ditanam di negeri ini
membabitkan lokasi sekitar pertukaran (Interchange) Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Pokok dipercayai berasal dari hutan di Perak dibawa khas oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Tanjung Penang dari Tanjung Malim di atas syor Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Presidennya, Teoh Tai Lim berkata, program penanaman pokok tersebut adalah projek tahunan persatuan tersebut bagi mengurangkan pemanasan global.

“Sekitar RM10,000 diperuntukkan bagi mendapatkan 50 anak pokok Cleistanthus Maingayi pada hari ini,” ujarnya semasa Projek Penanaman Pokok di sini baru-baru ini.

The Lions Club of Uni Utama (Indonesia), Tao Cheng dan Fly Eagle (Taiwan), Nasim (Singapura) dan Blue Sky (China) turut mengambil bahagian dalam projek berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha berkata, pihak Majlis merancang untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi menanam spesis-spesis tumbuhan terancam atau dikenali sebagai taman poket arboretum.