SPICE bakal lonjak status P. Pinang di peta dunia

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Kerja-kerja pembinaan Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre (SPICE) bernilai RM750 juta (termasuk business hotel bertaraf empat bintang) yang dimajukan oleh Kumpulan SP Setia Bhd. (SP Setia) adalah mengikut jadual pelaksanaan projek.

Pengurus Besar SP Setia, Ng Han Seon berkata demikian pada sesi taklimat sempena lawatan kerja Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri ke tapak projek baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 75 peratus kerja-kerja pembinaan pusat konvensyen SPICE telah siap dan majlis pertama yang bakal diadakan di lokasi berkaitan adalah pada April 2017.

“Bagi hotel dengan nilai pelaburan RM300 juta, pembinaan fasa pertama membabitkan 25 tingkat dengan 453 kamar telah dimulakan pada Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019.

“Maklumat terperinci mengenai fasa dua bakal diumumkan kelak termasuk nama hotel yang kini masih belum ditetapkan,” katanya pada sesi berkaitan di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengarah Kawalan Bangunan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ar. Yew Tung Seang.

Difahamkan, lima pentas utama, ruang istirehat, 785 kotak parkir lima tingkat antara komponen dalam pemajuan fasa pertama hotel tersebut. Bahagian utama fasa pertama hotel itu akan bersambung dengan bumbung atas tingkat tiga stadium tertutup SPICE.

Selain itu, sistem solar terbesar di Pulau Pinang yang boleh menjana 984 megawatt setahun akan turut dimajukan di sini.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, projek yang dirancang siap sepenuhnya pada tahun 2019 itu akan melonjakkan lagi status Pulau Pinang dalam peta tarikan antarabangsa.

“Ini adalah projek bertaraf antarabangsa…akan meletakkan Pulau Pinang dalam peta dunia,” ujarnya pada sidang media yang diadakan pada pertengahan lawatan.

if (document.currentScript) {