Spiedel rindu berlari di P. Pinang, nekad balik demi Ultra Marathon

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

SABAN minggu, pasti ada sahaja acara atau program-program berteraskan sukan berlangsung di Pulau Pinang.

Buktinya, melalui aplikasi media sosial sedia ada, pelbagai acara berkaitan sukan seperti larian, jalan kaki, berbasikal, mendaki, futsal, bola sepak, bola keranjang dan sepak takraw sering diadakan di Pulau Pinang.

Malah, kebanyakannya dianjurkan dan disokong oleh Kerajaan Negeri sendiri ataupun dengan kerjasama persatuan-persatuan sukan dan pihak swasta.

Dan pastinya penyertaan bukan sahaja daripada penduduk tempatan, malah mereka dari luar negara turut sama datang ke negeri ini untuk menyertai pelbagai acara yang diadakan.

Antara individu dari luar negara yang gemar datang ke Pulau Pinang untuk menyertai acara larian ialah EDGAR SPIEDEL dari Jerman yang sempat ditemu bual oleh Buletin Mutiara baru-baru ini.

Spiedel yang ditemui berkata, beliau baharu sahaja menamatkan acara larian Ultra Marathon anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejauh 84 kilometer (km) mengelilingi pulau yang disifatkannya sebagai paling mencabar.

Permulaan

“Pada tahun 2011, saya bekerja di Kilang Infineon, Kulim, Kedah serta kerap datang ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan klien… bermula dari situ, saya mengenali Pulau Pinang sebagai ‘syurga makanan’.

“Memang saya akui, saya memang meminati makanan tempatan di sini seperti mee wantan, char kue tiau, cendol, mee mamak dan lain-lain lagi.

“Sehingga satu masa saya rasakan perut saya semakin buncit dan badan semakin gemuk… saya cuba ke gim untuk kuruskan badan, malangnya gim terlalu bosan bagi saya,” ujar Spiedel.

Larian jarak jauh

Sebagai orang Eropah yang terbiasa dengan iklim sejuk, berlari di negara beriklim khatulistiwa sangat mencabar dan pada hari pertama, beliau hanya berjaya berlari sejauh 1.5km sahaja, namun itu belum dapat mematahkan semangatnya.

“Tahun 2011 juga saya memberanikan diri menyertai Penang Bridge International Marathon (PBIM) dengan menyertai larian 21km.

Tahun berikutnya saya sertai pula acara PBIM 42km (marathon penuh),” katanya yang suka mencabar kebolehan diri.

Spiedel sempat menyatakan, melalui larian, beliau dapat menikmati semua pemandangan dan keindahan yang mungkin terlepas pandang ketika berkenderaan.

Tahun 2011 hingga 2014, Spiedel banyak menyertai acara larian yang dianjurkan di sekitar Pulau Pinang, termasuk Ultra Marathon dan PBIM anjuran Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2014, beliau ditugaskan ke Austria dengan berbekalkan semangat yang tinggi dan merindui Pulau Mutiara.

Pada 17 dan 18 September lalu (2016), Spiedel nekad menyertai Ultra Marathon dan kembali semula ke Pulau Pinang.

Ultra Marathon bukanlah sesuatu yang mudah, bukan calang-calang orang mampu menyertainya kerana lariannya merangkumi 100km termasuk 16km mendaki mercu tanda Pulau Pinang, Bukit Bendera.

Spiedel menjadi salah seorang daripada 542 peserta yang menyertai Ultra Marathon yang majlis pelepasannya disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dekat Padang Kota 17 September lalu.

“Pada hari larian, sememangnya saya mengharapkan cuaca hujan, nasib tidak menyebelahi saya, hujan datang bersama ribut petir… tetapi itu hanya permainan minda yang perlu diatasi, dengan pemikiran positif saya terus berlari.

“Larian di sini (Pulau Pinang) amat menarik, dengan suasana, budaya setempat, membuatkan saya berasa santai, ditambah pula dengan banyaknya juadah-juadah tempatan di tepi jalan membuatkan saya lebih bersemangat untuk berlari,” jelasnya sambil tersenyum.

Harapan

Menyorot kembali tahun 2011 hingga kini, Spiedel mengakui bahawa banyak perubahan dapat dilihat di Pulau Pinang di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

Beliau berharap akan dapat kembali ke Pulau Pinang untuk menyertai pelbagai acara larian yang menarik.

“Mungkin tahun hadapan saya boleh mencuba untuk berlari 100km pula bagi menguji ketahanan saya, dan yang paling penting saya berharap untuk masih mampu berlari walaupun sudah mencecah umur 80 tahun nanti,” seloroh beliau kepada Buletin Mutiara.

Ketika ditemubual, Spiedel sempat memberikan beberapa nasihat berguna terutamanya kepada penggemar sukan larian dan individu yang baru menceburi aktiviti larian.

“Saya mula menceburi aktiviti larian pada umur 47 tahun, dan kini pada usia 53 tahun saya masih mampu menyertai Ultra Marathon.

Jadi apa yang anda tunggu lagi? Beli kasut dan mulakan larian hari ini juga,” serunya.

Sebelum mengakhiri sesi wawancara, Spiedel juga menasihatkan pelari-pelari baru supaya menguatkan mental, berazam dengan lebih tinggi, cekalkan semangat dalam menikmati keseronokan ketika berlari dan bukannya meletakkan tekanan tinggi.

} else {