SSO jana peluang kerja, ekonomi & keuntungan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : JEFFREY CHEW

SINGAPURA – Industri perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (Shared Services and Outsourcing – SSO) dijangka menjana lebih 30,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun dengan sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, syarikat IHS Incorporated, Atmel Corporation, Toll Global Forwarding dan Jurong Shipyard Pte. Ltd. adalah antara syarikat-syarikat SSO terkemuka yang bertapak di Pulau Pinang dan terus berkembang pesat.

“SSO merupakan elemen penting dalam dunia perindustrian hari ini yang bukan sahaja memanfaatkan ekonomi, tetapi juga memberi keuntungan dari segi kos.

“Ia bukan sahaja mampu melonjakkan peluang pendapatan dalam pekerjaan, malah juga pemindahan dan perkongsian kecekapan serta kemahiran tinggi yang menjadi amalan terbaik di peringkat global,” katanya ketika berucap pada Seminar Peluang Pelaburan Pulau Pinang di Singapura baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Sikh Shamsul Ibrahim, Kaunselor Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia, Syed Mohd. Faizal Dardin, Naib Presiden Multimedia Development Corporation (MDeC), Michael Warren, Pengerusi The Economic Development Innovations Singapore Pte. Ltd. (EDIS), Philip Yeo dan Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon.

Jelas Guan Eng, antara sektor yang paling pesat dalam industri SSO di Malaysia adalah perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans yang menguasai 30 peratus daripada keseluruhan industri SSO diikuti sektor pembuatan (27 peratus), minyak dan gas (22 peratus) dan lain-lain seperti peruncitan, logistik serta telekomunikasi.

“Malah di Pulau Pinang sendiri, sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing mencatatkan 48 peratus serta 47 peratus dalam KDNK Pulau Pinang dan pendapatan melalui sektor penyumberan luar pula meningkat lebih 20 peratus tahun lalu.

“Atas sebab ini jugalah, Pulau Pinang kini memfokuskan kepada pembangunan hab IT-BPO (Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan) bernilai RM3.3 bilion di Bayan Lepas,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, pada Mei lalu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Temasek juga telah memeterai perjanjian persefahaman untuk membangunkan BPO Prime dan Taman Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (PITP) yang bernilai RM11.4 bilion sekaligus melonjakkan nama Pulau Pinang sebagai mercu BPO unggul di Malaysia.