Status kegunaan kediaman, peniaga disaran segerakan pertukaran

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam proses melaksanakan pemutihan terhadap 800 peniaga yang belum menukar status kegunaan kediaman kepada (status) komersial.

Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong berkata, proses pemutihan tersebut akan melayakkan seseorang pemohon memperoleh lesen sementara sehingga 31 Disember 2017.

“Kini, MBPP giat menghantar surat kepada 800 pemilik lot-lot ini untuk tampil mengisi borang tukar status guna tersebut. Malah, mereka juga boleh datang sendiri ke Pejabat Perancangan Pembangunan MBPP di Tingkat 16, Komtar bagi memudahkan pelaksanaan proses berkaitan.

“Lesen sementara bagi proses pemutihan yang ditawarkan adalah sebanyak RM1,200 (setahun) berbanding kos lesen biasa RM100 hingga RM240 ke atas, bergantung kepada jenis perniagaan,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP, Nur Syazwani Md Amin dan Tan Chiew Choon.

Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu, berniaga tanpa lesen merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun sebanyak RM250 secara harian, mingguan atau bulanan.

“Namun, MBPP hanya mengkompaun secara bulanan sahaja kepada mereka yang masih ingkar,” jelasnya.