STEM, pastikan Pulau Pinang lebih berdaya saing

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri pada tahun ini mengumumkan pembentukan Penang STEM Sdn. Bhd. (Penang STEM), iaitu sebuah organisasi yang akan bertindak terhadap enam Pusat Kecemerlangan (COE) bagi menerajui pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri telah melabur sejumlah RM68 juta bagi menjayakan inisiatif saintifik berkenaan.

Tambahnya, sebagai sebuah negeri perindustrian dan bergantung kepada kemahiran serta bakat, tumpuan harus diberikan kepada pengkhususan STEM demi memastikan negeri lebih berdaya saing dalam skala global dan berjaya dalam industri 4.0.

“Bagi tujuan tersebut, kita (Kerajaan Negeri) menubuhkan Penang STEM… yang mana ia akan menjadi payung kepada enam Pusat Kecemerlangan dalam menjayakan STEM.

“Enam COE tersebut adalah Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang iaitu sebuah pameran sains terbesar di Malaysia; pusat penemuan sains dan teknologi (Penang Tech Dome) dan perpustakaan digital pertama di Malaysia yang beroperasi 24 jam serta dibuka 365 hari setiap tahun (Penang Digital Library, PDL).

“Manakala, @CAT Penang adalah sebuah platform yang menyediakan teknologi, sokongan dan perkhidmatan kepada komuniti di bawah satu bumbung serta Penang Science Cluster,” ucapnya ketika merasmikan Simposium IEEE International Microwave, Electron Devices, Solid state Circuits (IMESS) 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PSDC, Muhamed Ali Hajah Mydin, Naib Pengerusi Seksyen IEEE Malaysia, Dr. Fawnizu Azmadi Hussin dan Pengerusi IMESS 2017, Ir. Bernard Lim Kee Weng.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu, bakat adalah aset terbesar Pulau Pinang dan sejak tiga tahun lalu, Penang Future Foundation (PFF) telah ditubuhkan untuk mengekalkan bakat-bakat besar berkaitan.

“Malah sebagai sokongan menjayakan inisiatif STEM, Program Meister Malaysia dilancarkan tahun lalu dengan suntikan dana berjumlah RM6 juta.

“Program pembangunan kemahiran ini adalah berdasarkan modul latihan vokasional Jerman…pelatih akan dilatih dan diambil bekerja di kilang-kilang sambil dipantau oleh tutor berpengalaman,” jelas beliau.