Suara belia bagi merangka Pelan Tindakan Belia Pulau Pinang – Exco

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Belia di negara ini perlu diberikan peluang dan hak mencukupi bagi membolehkan golongan berkaitan memainkan peranan dalam aspek pembangunan lestari serta mampan.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, dalam membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Pulau Pinang, satu kajian mendalam telah dijalankan berhubung isuisu cabaran dihadapi belia di negeri ini, dan cara paling efektif untuk menggalakkan pembangunan golongan berkenaan.

“Fasa pertama projek ini adalah merangkumi kaji selidik terhadap 606 belia merangkumi semua etnik utama di seluruh negeri Pulau Pinang, yang dipilih secara rawak dan berusia antara 18 hingga 29 tahun.

“Kajian ini telah menganalisis isu-isu kesejahteraan sosial, kesejahteraan ekonomi dan kesedaran politik dalam kalangan belia.

“Hasil kajian yang diperoleh akan menjadi asas serta struktur Pelan Tindakan Pembangunan Belia Pulau Pinang, dan ia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat belia negeri ini,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Youth Development Corporation (PYDC), Teng Kok Liang, Dr. Wong Chin Huat (Felo & Ketua Jabatan Politik dan Analisis Sosial), Dr. Mustafa Kamal Anuar (Felo & Ketua Pengajian Nusantara) dan Yeong Pey Jung (Penganalisis Kanan, Politik dan Analisis Sosial).

Berdasarkan data diperoleh pada tahun 2015, menunjukkan bahawa jumlah belia di Pulau Pinang adalah sebanyak 25.39 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk negeri ini.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Pulau Pinang tersebut disasarkan untuk menjadi inklusif dan berfungsi sebagai panduan bagi memupuk potensi belia Pulau Pinang, menggalakkan mobiliti sosial serta meningkatkan perkembangan golongan berkaitan dari segi sosial, ekonomi dan politik.

“Objektif pelan tersebut terbahagi kepada lima bahagian, iaitu, Pertama, mengenal pasti isu utama belia Pulau Pinang dari sosioekonomi dan aspek politik.

Kedua, menggubal dasar dilaksanakan dan pelan tindakan untuk mengurangkan masalah yang dikenal pasti.

“Ketiga, menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti kemasyarakatan; Keempat, belia kepimpinan angkat dan Kelima, memastikan pemerkasaan belia sebagai kuasa untuk memberi motivasi kepada sosio-ekonomi dan pertumbuhan politik negeri serta keupayaan belia,” ujarnya.