SUKMA Sarawak, kontinjen negeri perbaiki pencapaian – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

KUCHING – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata, pihaknya berpuas hati dengan kejayaan Kontinjen Pulau Pinang mengutip 26 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak Ke-18, yang berlangsung dari 23 hingga 30 Julai lalu.

Menurutnya, kejayaan itu sekaligus memperbaiki rekod kedudukan kontinjen negeri berbanding kutipan 24 pingat emas yang dicapai ketika SUKMA 2014 di Perlis sebelum ini.

“Kita (Pulau Pinang) bukan sahaja mempertingkatkan pungutan pingat emas, bahkan kita (Pulau Pinang) berjaya memperbaiki kedudukan dari tangga ketujuh di Perlis ke tangga keenam pada temasya di Sarawak baru-baru ini.

“Sasaran realistik kita (Pulau Pinang) tetapkan sememangnya cuma 25 emas, namun dalam meningkatkan motivasi atlet, kita (Pulau Pinang) letakkan 30 emas.

“Bagaimanapun, saya kira pihak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) masih boleh berbangga dengan pungutan 26 emas,” ujarnya ketika ditemubual pemberita dalam Majlis Penutup SUKMA Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Sarawak baru-baru ini.

Pun begitu, tambah Chong Eng, MSNPP selepas pulang ke Pulau Pinang wajar tidak ‘berdiam diri’, sebaliknya, terus merancang ‘blue print’ untuk menghadapi temasya SUKMA Ke-12 di Perak pada tahun 2018.

Kontinjen Negeri baru-baru ini mencatat jumlah keseluruhan 67 butir pingat, dengan 26 emas (10 acara), 12 perak (12 acara) dan 29 Gangsa (12 acara).