Sumbangan Ibu Emas manfaat 58,170 penerima seluruh negeri – Hon Wai

Admin

PENGHARGAAN… Seramai 58,170 suri rumah menerima sumbangan penghargaan bernilai RM100 menerusi Program Ibu Emas daripada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan baru-baru ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai ketika meninjau sesi pembayaran program Ibu Emas dekat sebuah bank di Air Itam di sini.

“Ini merupakan dividen anti rasuah, hasil tender terbuka dan Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam mentadbir negeri Pulau Pinang.

“Ini juga hasil lebihan yang kita (Kerajaan Negeri) capai dan ‘dipulangkan’ kepada rakyat sebagai tanda penghargaan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Hon Wai dalam pada itu menyatakan bahawa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam mencatatkan 1,246 penerima.

“Justeru, saya juga ingin menyeru suri rumah di bawah usia 60 tahun, sekiranya belum memohon, boleh kemukakan permohonan di pusat-pusat khidmat (ADUN) Pakatan Harapan,’’ kata beliau.