Sumbangan IPTA RM1,000, negeri hargai modal insan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & WATAWA NATAF ZULKIFLI

JAWI – Seramai 549 anak Pulau Pinang terpilih menerima cek bantuan pendaftaran pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi pertama tahun 2014 peringkat negeri berjumlah RM1,000 seorang atau keseluruhannya RM549,00.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, program modal insan tersebut boleh dilaksanakan sejak tiga tahun lepas kerana Kerajaan Negeri tiap-tiap tahun ada surplus, sungguhpun belanjawan defisit diamalkan di Pulau Pinang saban tahun.

“Kita tidak ada sumber dari balak, minyak dan gas, maka, Kerajaan Negeri melaksanakan program ini untuk menghargai sumber modal insan.

“Ini adalah ‘dividen anti rasuah’ kerana kita amal tender terbuka, tak rasuah serta ada lebihan kewangan tiap-tiap tahun…tak benar kewangan kita defisit walaupun kita mengamalkan belanjawan defisit,” ujarnya di Dewan Serbaguna Jawi sumbangan peringkat Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Maktar Shapee (Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Bakap), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan P. Kasthuriraani dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam).

Tambah beliau, Kerajaan Negeri pada tahun ini turut membuka peluang kepada pelajar diploma serta ijazah sarjana muda dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), iaitu Wawasan Open University (WOU), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan AIMST University untuk memohon sumbangan berkenaan melalui i-BiTA secara online mulai 12 Ogos hingga 25 Ogos lalu.

Difahamkan, majlis sumbangan serupa peringkat pulau turut diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak.

Dalam pada itu, Awa Maisarra Mad Said, 18, semasa ditemui di sini melahirkan rasa penghargaan kerana permohonannya diluluskan Kerajaan Negeri.

“Sangat gembira apabila dapat tahu Kerajaan Negeri nak beri bantuan ini…dengan RM1,000 boleh untuk biaya daftar masuk universiti nanti,” ujarnya yang ditawar melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pulau Pinang dekat Permatang Pauh.

Nada yang sama turut diluahkan Ayu Hanis Idris, 19, yang ditawar melanjutkan pelajaran ke UiTM Kampus Merbok, Kedah.

“Bersyukur kepada Allah, bantuan ini sedikit banyak mengurangkan beban keluarga semasa hari pendaftaran masuk (universiti) kelak,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.