Sumbangan Program Emas sebab KN bersih & ada lebihan wang – KM

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sehingga kini mampu menyumbang RM184 juta untuk pelbagai ‘Program Emas’ ekoran tadbir urus kewangan yang bersih serta mempunyai lebihan kewangan (surplas) saban tahun.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, itu termasuk sumbangan tunai RM1,000 kepada 72 penerima berwajib yang menjaga orang kurang upaya (OKU) dengan penuh kasih sayang dan sabar sehingga akhir hayat anggota keluarga berkenaan.

“(Sumbangan RM1,000 kepada waris OKU meninggal dunia) ini adalah satu lagi kesinambungan program-program kebajikan yang kita (Kerajaan Negeri) beri sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang melakukan kebajikan dengan penuh sabar dan kasih sayang kepada OKU hingga hujung hayat.

“Sejak dahulu lagi telah saya kata, tetapi ada pihak mempertikaikannya…, (iaitu) dengan hanya melaksanakan pentadbiran secara integriti dan bersih sahaja, kita (Kerajaan Negeri) pada hari ini berjaya menyumbang RM184 juta (RM184,314,000) untuk pelbagai ‘program emas’ sejak tahun 2009,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyampaikan ucapan itu dalam Majlis Pelancaran Aplikasi ‘AppSejahtera’ & Sumbangan RM1,000 Kepada Waris OKU Baru Meninggal Dunia di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu.

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri, Abdul Wahab Long, Pengarah Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM), Said Sidup serta Pengurus Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Nuriannahar Mohamed.

Direkodkan, sejumlah RM92,603,400 telah disumbangkan kepada 926,034 penerima di bawah Program Penghargaan Warga Emas, diikuti, Program Ibu Tunggal (RM5,487,100 untuk 54,871 penerima), Program Skim Pelajar Emas (RM18,848,800 untuk 188,488 penerima), Program Anak Emas (RM11,680,400 untuk 58,402 penerima), Program Ibu Emas (RM9,002,300 kepada 90,023 penerima), Program Bantuan OKU (RM18,896,600 kepada 188,966 penerima), Bantuan Pemandu Teksi (RM4,857,900 kepada 16,193 penerima), Bantuan Pengayuh Beca (RM624,000 kepada 120 penerima), Bantuan Pukat Nelayan (RM2,421,679 kepada 3,121 penerima) dan Program Agenda Ekonomi Saksama atau AES (RM19,891,821 kepada 1,235 penerima).

Phee Boon Poh dalam ucapannya memberitahu, AppSejahtera yang dilancarkan membolehkan semua pihak membuat pendaftaran atas talian untuk semua program kebajikan di bawah i-Sejahtera, serta menyemak status permohonan, serta pelbagai rekod statistik berwajib lain, dengan melalui telefon pintar masing-masing.

“Seluruh penduduk Pulau Pinang boleh memuat turun aplikasi ini di playstore bagi pengguna (telefon pintar jenis) android dan istore bagi pengguna IOS, di mana-mana sahaja secara telus dan integriti, dengan syarat ada (data) internet atau wifi,” jelasnya sambil memberitahu bahawa ‘AppSejahtera’ merupakan aplikasi mudah alih yang diinovasikan dari versi web http://isejahtera.penang. gov.my.