Sumbangan RM828,000 untuk Program Pengimarahan Masjid, Ehya’ Ramadan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mengumumkan penyerahan RM828,000 sumbangan kepada pentadbir Masjid Negeri serta lima Masjid Daerah yang lain.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, semua peruntukan itu adalah demi membiayai Program-Program Pengimarahan Masjid Dan Program Ehya Ramadan di masjid-masjid berkenaan.

“Sejak tahun 2008 Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM457 juta berbanding RM249 juta yang telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri terdahulu dalam tempoh 10 tahun yang sama, dengan suatu jumlah peningkatan sebanyak 84 peratus.

“Sumbangan (RM828,000) ini akan digunakan untuk program mengimarah masjid dan Ehya Ramadan (yang dijadualkan) pada bulan Mei ini,” jelasnya pada sidang media di sini 15 Mac lalu.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim memberitahu, RM218,000 diperuntukan untuk Program Pengimarahan Masjid Negeri, selain RM195,000 lain untuk Program Ehya Ramadan Masjid Negeri dalam tempoh 17 Mei hingga 14 Jun 2018.

Tambah beliau, Masjid Abdullah Fahim dekat Kepala Batas, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Utara, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan masing-masing menerima RM83,000 peruntukan Program Pengimarahan Dan Ehya Ramadan.

“(RM828,000) ini tidak termasuk pemberian Kerajaan Negeri apabila Ramadan tiba nanti, iaitu kepada semua masjid di seluruh Pulau Pinang, termasuk Masjid Daerah dan Masjid Negeri juga,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng.

Pada majlis sama, Guan Eng diiringi Abdul Malik menyerahkan cek peruntukan berwajib itu kepada pentadbir-pentadbir masjid terbabit.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan agenda Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang dalam memartabatkan Islam dan umatnya di negeri ini.