Sunway Carnival labur bina bangunan sayap baru diharap gamit lebih ramai pelancong

SEBERANG JAYA – Projek pemajuan bangunan sayap baru pasar raya Sunway Carnival Seberang Jaya yang akan dibina menelan belanja pelaburan kirakira RM500 juta.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pasar raya itu menjadi salah satu destinasi pelancongan membeli-belah pilihan serantau serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Pelaburan di Seberang Jaya begitu baik… saya begitu yakin Bandar Sunway akan menjadi sebuah bandar yang bersinar dengan kehadiran lebih ramai lagi pelancong,” katanya dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Bangunan Sayap Sunway Carnival Mall di sini 3 Mac lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu, 7.2 juta pelancong direkodkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada tahun 2017 adalah menyamai peningkatan 8 peratus berbanding 6.6 juta penumpang pada tahun sebelumnya.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway merangkap anggota Exco Kumpulan Sunway, Datuk Jeffrey Ng menyatakan bahawa projek pelaburan terbaru berkaitan adalah terdiri oleh empat fasa dan akan siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Tambahnya, selepas siap projek itu, luas lantai pasar raya empat tingkat tersebut adalah 1.45 juta kaki persegi, berbanding 780,000 kaki persegi sekarang.

“Selepas semua projek itu siap kelak, Sunway Carnival Mall akan terdiri oleh 450 lot kedai selain kira-kira 3,000 tapak parkir.

“Dijangkakan kira-kira 1,500 lagi peluang pekerjaan baru bakal dicipta selepas projek pelaburan ini siap sepenuhnya,”.