Swarovski pilih Pulau Pinang, buka GBS perluas kedudukan di Asia

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pengeluar potongan kristal tepat terkemuka dunia, Swarovski memilih Pulau Pinang sebagai lokasi baharu Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS)nya.

Menurut kenyataan akhbar syarikat berkenaan, Swarovski akan membuka GBS baharu pada penghujung tahun 2017 secara berperingkat sejajar dengan nilai-nilai syarikat.

Naib Presiden Eksekutif Kewangan dan Pentadbiran Operasi Global Swarovski, Marcel Angst dalam kenyataan tersebut berkata, untuk terus kekal berdaya saing di peringkat global, Swarovski sentiasa berusaha memperbaik dan memastikan perniagaannya berada satu langkah di hadapan.

“Pembukaan GSB baharu di Pulau Pinang ini merupakan sebahagian inisiatif global di Asia bagi memastikan kejayaan berterusan Swarovski.

“Oleh itu, beberapa aktiviti terpilih berkaitan kewangan dan pentadbiran melibatkan pasaran Asia akan beroperasi di Pulau Pinang.

“(Dan) pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi GBS peringkat Asia diputuskan setelah proses penilaian secara menyeluruh dibuat termasuk sokongan profesional Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah mewujudkan asas kukuh bagi komitmen jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan Hab GBS Swarovski, Wojciech Krygowski, pelaburan Swarovski di Pulau Pinang akan mewujudkan pelbagai peluang kerjaya yang baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif investPenang (iP), Dato’ Loo Lee Lian selaku agensi promosi pelaburan Pulau Pinang menyatakan bahawa daripada 10 lokasi antarabangsa disenarai pendek, Swarovski memilih Pulau Pinang.

“Kami amat bangga apabila Swarovski memilih Pulau Pinang untuk menubuhkan GBS baharu, dan kami mengalu-alukan kehadiran
Swarovski ke Pulau Pinang, Selamat Datang,” ujarnya.

GBS Swarovski di Pulau Pinang dijangka beroperasi secara rasmi pada awal tahun 2018.

Mula diperkenalkan sejak tahun 1895, Swarovski kini mempunyai lebih 2,800 gedung di hampir 170 buah negara serta mempunyai lebih daripada 27,000 pekerja dengan hasil pendapatan 2.6 bilion Euro pada tahun 2016.