Syor suruhanjaya ambil tindakan terhadap pegawai daerah – Jagdeep

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dimaklumkan supaya mengambil tindakan terhadap seorang pegawai daerah berdasarkan syor dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Mengenai Kegagalan Dua Struktur Awam Di Negeri Pulau Pinang mengenai insiden runtuhan tiang penangkap kilat dari puncak Menara Umno di Jalan Macalister pada 13 Jun 2013.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian selepas dilantik untuk mempengerusikan suatu jawatankuasa pelaksanaan syor-syor yang dikemukakan dalam laporan suruhanjaya tersebut.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan terhadap Pegawai Daerah sepertimana disyorkan di perenggan 11.0 (d) Laporan Suruhanjaya Siasatan.

“Malah, laporan Suruhanjaya itu mencadangkan jawatankuasa kecil pelaksana supaya memecat pegawai daerah kerana ‘mengabaikan tugas yang ketara’,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Batu Maung) dan Dato’ Aliza Sulaiman (Penasihat Undang-Undang Negeri) turut dilantik menganggotai jawatankuasa kecil tersebut bagi melaksanakan keputusan serta penemuan dalam laporan suruhanjaya siasatan tersebut.

Dalam perkembangan sama, langkah Guan Eng mengerah jurutera sukarelawan membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) demi menangani insiden runtuhan tiang penangkap kilat tersebut turut dipuji dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan.

“Pengerahan jurutera sukarelawan dari sektor swasta untuk bantuan kecemasan ialah keputusan sangat baik yang telah diambil oleh Ketua Menteri kerana mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman praktikal yang relevan yang mungkin tidak dimiliki oleh jurutera MPPP (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP),” lapor Suruhanjaya dipetik daripada dokumen rasmi tersebut.

Laporan itu turut merakamkan rasa terhutang budi kepada beberapa jurutera sukarelawan, iaitu Dato’ Ir. Lim Kok Khong, Ir. Yao Ann Nian, Ir. Ting Chek Choon, Ir. Khoo Koon Tai dan Ir. Chin Too Hong.

Selain itu, dokumen tersebut mendedahkan hasil siasatan suruhanjaya terhadap insiden runtuhan ‘perencah berat’ Jambatan Kedua Pulau Pinang (JKPP) pada 6 Jun 2013.

Bercakap pada sidang media, Guan Eng sekali lagi menyatakan komitmen Kerajaan Negeri bagi bantuan guaman sekiranya diperlukan oleh waris keluarga mangsa.

“Sungguhpun insiden ini telah berlaku dua tahun lalu, tetapi, masih dirasai oleh keluarga mangsa dan kita (Kerajaan Negeri).

Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan dokumen rasmi laporan tersebut kepada dua waris kepada Allahyarham Tajudin Zainal Abidin yang maut dihempap tanjakan konkrit dan ‘perencah berat’ JKPP.

Adik Allahyarham, Laldin Zainal Abidin, 42, dan salah seorang balu Allahyarham, Shariffah Ramli, 42, masing-masing melahirkan rasa sedih atas pemergian Tajudin, serta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana komited untuk membantu pada aspek guaman berwajib, jika diperlukan kelak.

“Mestilah teringat balik kepada arwah…kami daripada pihak keluarga arwah bersetuju dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi membantu kami dari segi kedudukan perundangan,” jelas Laldin.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri yang menubuhkan suruhanjaya tersebut atas nasihat Kerajaan Negeri, dengan dipengerusikan oleh Datuk Yeo Yang Poh, serta dianggotai Datuk Dr. Ir. Gue See Sew dan Datuk Prof. Ir. Roslan Hashim.

Dokumen rasmi dan cakera padat Laporan Suruhanjaya Siasatan Mengenai Kegagalan Dua Struktur Awam Di Negeri Pulau Pinang boleh diperoleh daripada Mohd. Nizam Che Mat di Unit Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Aras 3, Komtar atau hubungi talian 04 – 650 5266, dengan harga RM200 senaskah.

} else {