Tabiat penduduk jadi punca banjir kilat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MARK JAMES

TELUK BAHANG – Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid menegur sikap sesetengah penduduk khususnya di kawasan berkepadatan tinggi sekitar sini yang mana sering menunding jari kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri apabila kediaman masing-masing dilanda banjir kilat acapkali hujan.

“Mereka (penduduk) sewajarnya menyalahkan diri sendiri juga memandangkan kejadian banjir kilat di kawasan ini berlaku disebabkan sikap mereka (penduduk) yang suka membuang sampah merata-rata,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan tinjauan di beberapa kawasan di Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Turut serta, Penghulu kawasan Teluk Bahang, Amiruddin Mohd. Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), Mohd. Nasaruddin Sultan serta wakil-wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambah Halil, perbuatan membuang sampah dan sisa buangan di merata-rata terutama longkang mengakibatkan sistem saliran dan perparitan sedia ada tersumbat dan tidak mampu menampung saliran hingga mengakibatkan banjir kilat.

“Mereka (penduduk) kata MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) tak buat kerja sampai menyebabkan longkang tersumbat sedangkan mereka (penduduk) juga yang menyebabkan longkang tersumbat dengan tin-tin minuman, botol dan plastik.

“Mereka (penduduk) campak apa sahaja sama ada dalam longkang mahupun dalam sungai-sungai kecil yang ada dan masalahnya, mengharapkan MPPP mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk membersihkannya,” ujar Halil Sabri.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat perlu faham dan mempunyai kesedaran sivik tinggi tentang kesan pembangunan dan sikap segolongan yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan penduduk lain di kawasan sekitar.

“Kita tahu, setiap tahun mesti berlaku masalah ini (banjir) dan kita telah dan masih sedang mengambil tindakan perlu, tetapi penduduk perlulah mengambil sikap ambil tahu dan ubah tabiat suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga menyebabkan banjir kilat,” ujarnya yang berharap supaya penduduk sedar bahawa setiap tindakan mereka sedikit sebanyak mempengaruhi persekitaran.