Taman Poket Sungai Pinang pertama bagi lahir warga sihat

Gambar : SHUM JIAN WEI

SUNGAI PINANG – Sebagai langkah strategik bagi mengurangkan tekanan dan menggalakkan warga kota menjalankan aktiviti sihat bersama-sama keluarga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim mengambil inisiatif mewujudkan taman berkonsep berhampiran Jalan Sungai dekat sini baru-baru ini.

Katanya, taman poket di sini diwujudkan sebagai terapi, khususnya warga kota yang berkerjaya untuk menghilangkan tekanan dan beristirahat sambil menikmati persekitaran yang nyaman, selesa serta hijau.

“Tumpuan bukanlah semata-mata untuk mengindahkan kawasan perumahan di sini, tetapi juga untuk menggalakkan aktiviti bersukan dan sihat sejajar dengan inspirasi Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,” katanya sejurus selepas mengadakan tinjauan ke tapak projek pengindahan Taman Poket Jalan Sungai dekat sini baru-baru ini.

Turut sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng serta wakil-wakil dari agensi kerajaan.

Projek Taman Poket Jalan Sungai yang menelan kos RM179,200 tersebut merupakan taman (poket) pertama di sini.

Terletak bersebelahan Sungai Pinang dan projek tersebut hampir 90 peratus siap kini.

Selain dilengkapi dengan alat permainan kanak-kanak, taman terbabit turut mempunyai trek larian serta kemudahan asas yang mesra pengguna dan alam sekitar.

“Kita menjangkakan akhir bulan Oktober ini, Taman Poket dibuka untuk kegunaan umum,” kata Siew Khim yang berharap lebih banyak lagi konsep-konsep taman dapat diwujudkan di kawasan Sungai Pinang.