Tanam lebih banyak pokok, sayangi alam, seru YDP

BUKIT MERTAJAM – Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyeru orang ramai supaya menyemai perasaan sayang terhadap alam semulajadi dengan mengambil inisiatif menanam lebih banyak pokok untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penanaman Pokok Bersama Kelab Lions Pulau Pinang di Jalan Song Ban Keng, Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.

Maimunah berkata, inisiatif tersebut boleh dilaksanakan menerusi program kemasyarakatan ataupun tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“(Inisiatif) ini boleh dijalankan oleh individu dan orang ramai melalui program kemasyarakatan ataupun CSR seperti yang dilaksanakan Kelab Lions (Pulau Pinang) kini,’’ katanya pada majlis berkaitan.

Pada penganjuran tersebut, sebanyak 50 pokok raintree atau pokok hujan-hujan hasil sumbangan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang telah ditanam, manakala baki 50 pokok lagi bakal ditanam dalam tempoh terdekat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Datuk Alvin Lim Theng Hooi (Pengerusi Kelab Lions Tanjung), Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP) dan Tan Cheong Heng (Ahli Majlis MPSP).

Mengulas lanjut, Maimunah memberitahu, sejak 2008 sehingga kini (2016), MPSP telah menanam sebanyak 10,658 batang pokok, diikuti pihak pemaju (51,800) dan orang ramai melalui program CSR (2,754).

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan penduduk di kawasan Seberang Perai agar terus menjaga dan memelihara pokok-pokok yang telah ditanam di kawasan kediaman masing-masing.

“Walaupun usaha pemeliharaan ini nampak kecil, namun ia dapat mempengaruhi iklim dan seterusnya memberi kesan kepada cuaca dunia sekarang.

“Dengan memelihara pokok, kesan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini akibat daripada pemanasan global dapat dikurangkan,” ujar Maimunah.