Tarif air baru, masih terendah dalam negara

Oleh : YAP LEE YING

GEORGE TOWN – Kajian semula tarif air Pulau Pinang berkuatkuasa 1 April ini adalah untuk membina sikap jimat dalam kalangan pengguna dan juga mengelak catuan air di negeri ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd., Ir. Jaseni Maidinsa pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kajian semula tarif air adalah selaras dengan misi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP untuk mengelak catuan air dengan apa cara sekalipun.

“Pulau Pinang menghadapi risiko catuan ketika musim kemarau berlarutan kerana penggunaan air per kapita domestik yang terlalu tinggi.

“Pada tahun 2014, purata penggunaan air per kapita domestik Pulau Pinang adalah 293 liter/kapita/hari (l/k/h) iaitu yang tertinggi di Malaysia. Pada pusingan bulan Januari/Februari 2015, catatan adalah 298 l/k/h.

“Umumnya, purata penggunaan air per kapita domestik kebangsaan adalah 210 l/k/h pada tahun 2013.

“Malah, Singapura yang diibaratkan sebagai ‘negara moden’ dilengkapi dengan pelbagai kemudahan hanya mencatatkan purata penggunaan air per kapita domestik sebanyak 152 l/k/h pada tahun 2013. Tarif air di republik berkaitan adalah kira-kira 11 kali ganda lebih tinggi daripada Pulau Pinang,” jelas beliau.

Jaseni memberitahu, kenaikan tersebut adalah susulan kelulusan yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan.

“Tahun lalu, PBAPP mengumumkan akan berlaku kajian semula tarif dan cadangan tersebut telah dihantar untuk kelulusan Kerajaan Persekutuan pada Julai 2014.

“Sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang Persekutuan, cadangan tersebut telah disyorkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan diluluskan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), ia telah diwartakan untuk dilaksanakan bermula 15 Februari lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun selepas kajian semula tarif, purata tarif domestik untuk penggunaan 35,000 liter air yang pertama adalah RM0.32 bagi setiap 1,000 liter iaitu masih yang terendah dalam negara.

“RM0.32 setiap 1,000 liter adalah kurang daripada 1/3 purata tarif domestik Johor iaitu RM1.05 bagi setiap 1,000 liter.

“Caj minimum untuk bekalan air domestik (RM2.50 sebulan) dan tarif untuk penggunaan domestik 20,000 liter yang pertama sebulan (RM0.22 setiap 1,000 liter) di Pulau Pinang adalah tidak berubah. Caj ini masih yang terendah di negara ini.

“Dengan itu, kira-kira 47.4 peratus pengguna air domestik, yang membayar caj minimum, atau menggunakan kurang daripada 20,000 liter sebulan, tidak akan menerima kesan daripada kajian semula tarif ini,” katanya.

Bagi tarif perniagaan, Jaseni memberitahu bahawa untuk penggunaan air 500,000 liter yang pertama sebulan adalah RM1.36 setiap 1,000 liter berbanding purata kebangsaan RM1.45 setiap 1,000 liter.

“Bagaimanapun, ingin dinyatakan, purata tarif perniagaan di Johor iaitu RM2.93 setiap 1,000 liter bagi penggunaan 500,000 liter yang pertama untuk sebulan adalah 2.1 kali lebih tinggi daripada purata tarif di Pulau Pinang.

“Selain itu, purata tarif Pulau Pinang untuk penggunaan band ini (RM1.36 setiap 1,000 liter) adalah juga lebih rendah daripada purata tarif yang dikenakan di Kedah (RM1.40 setiap 1,000 liter) dan di Perak (RM1.60 setiap 1,000 liter),” ujar beliau.