TDP teraju sains & teknologi PP, siap 2016

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Sebuah pusat sains dan penemuan dikenali sebagai Tech- Dome Penang (TDP) yang akan menjadi ikon Kompleks Tunku Abdul Razak (Komtar) bakal dibangunkan dalam usaha mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek TDP yang menelan belanja RM23.2 juta itu dijangka bermula pada penghujung suku pertama tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang 2016.

“Kerajaan Negeri akan menyewakan Geodesic Dome, Komtar (tapak TDP) kepada Penang Tech Centre Berhad (PTCB) yang bertanggungjawab membangunkan TDP pada kadar sewa nominal selama 15 tahun dan pembaharuan sewa hingga 15 tahun lagi,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, TDP adalah sebuah projek teraju bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi di samping menyekat kemerosotan minat, pengetahuan serta persaingan dalam bidang-bidang berkenaan.

“Jika kita lihat, taraf pencapaian pelajar dalam matapelajaran sains dan matematik sejak kebelakangan ini semakin merosot dan berada pada tahap yang membimbangkan di mana melalui Trend in International Mathematics and Science Study (TIMSS), penilaian pelajar antarabangsa, pelajar negara kita berada tiga tahun di belakang Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

“Oleh itu, objektif TDP bukan sahaja ingin mendorong kanak-kanak menjadi mahir dengan sains dan teknologi, tetapi juga memupuk minat untuk mengguna dan mencipta inovasi baharu yang mampu memberi impak positif dalam dunia teknologi serta inovasi dunia,” jelas beliau.

Selain itu, Guan Eng memberitahu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut menyumbang RM1.15 juta sebagai permulaan projek tahun 2013 dan akan memberi sumbangan tambahan, RM4 juta tahun ini bagi membiayai kos pembinaannya.

“Setakat ini, projek ini telah berjaya mengumpul RM21.7 juta termasuk RM17.7 juta daripada syarikat-syarikat tempatan, syarikat multinasional dan orang perseorangan.

“Hanya RM1.5 juta lagi diperlukan, saya yakin projek komprehensif ini akan menjadi kenyataan,” ujarnya.

TDP terbahagi kepada beberapa ruang pameran dan gerak kerja termasuk ruang robotik (Roboville), ruang spektrum dan cahaya (Spark), Taman Silikon dan bilik Life Tech.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang, TDP di www.techdomepenang.org