Teluk Bahang ‘digempur’ basmi kes denggi

TELUK BAHANG – Menyedari peningkatan tinggi kes denggi di negeri ini, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid mengambil inisiatif menggempur kawasan wabak tidak terkawal di Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Halil Sabri ketika ditemui berkata, gotong-royong merupakan salah satu cara mengawal penularan demam denggi di Pulau Pinang.

Selain gotong-royong, beliau turut berharap penduduk di kawasan terjejas agar merubah tabiat dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menjaga persekitaran kediaman masing-masing .

“Sewajarnya, masyarakat mengambil inisiatif sendiri dan tidak semata-mata mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersih kawasan kediaman masing-masing.

“Kawasan persekitaran yang dilitupi sampah sarap terutamanya perlu dibersihkan kerana bakal menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,’’ katanya sejurus selepas penganjuran program gotong-royong bersama komuniti Flat Seri Indah di sini baru-baru ini.

Turut serta, wakil Jabatan Kesihatan Barat Daya, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Telok Awak dan wakil JKKK Teluk Bahang.

Bermula Januari hingga September 2014, sebanyak 1,598 kes denggi dicatatkan di negeri ini berbanding tahun lalu hanya 611 kes bagi tempoh yang sama.