Tender terbuka, parkir awam percuma PBAPP siap awal demi kemudahan pengunjung

TELUK BAHANG – Pembukaan parkir awam berdekatan Empangan Teluk Bahang mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam menyediakan kemudahan yang mendokong perkembangan industri ekopelancongan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, penyediaan parkir awam di atas tanah seluas 4,500 meter persegi tersebut adalah bagi memberi kemudahan kepada para pengunjung, terutamanya yang ingin ke Entopia, Escape dan Empangan Teluk Bahang untuk menikmati keindahan alam semulajadi.

“Parkir awam ini diharap dapat memudahkan pengunjung untuk menikmati dan berinteraksi dengan alam semulajadi yang terdapat di sini.

“(Dan) yang mustahak adalah parkir ini dibuka untuk kemudahan orang awam dari 7 pagi hingga 7 malam secara percuma,” ucapnya pada Majlis Perasmian Parkir Awam Empangan Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri. Guan Eng dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada PBAPP kerana begitu komited menyiapkan parkir awam dalam tempoh tujuh minggu.

“Kita (Kerajaan Negeri) membuat panggilan tender terbuka pada 5 September lalu dan kerja-kerja dimulakan pada 1 Oktober lalu.

“Projek ini dijangka siap pada 9 Disember, tetapi dapat disempurnakan lebih awal, iaitu pada 25 November lalu…inilah kelebihan tender terbuka, dapat menyiapkan projek awam mengikut jadual,” ujarnya yang yakin dengan perkembangan industri eko-pelancongan di kawasan ini.

Tambah Guan Eng, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memelihara hutan simpan kekal di negeri ini menjadikannya sebagai salah satu tarikan eko-pelancongan di negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) jaga hutan kita dan kita tanam baru 271,000 pokok tahun lalu (2015) dalam memastikan Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri hijau.

“Apabila industri eko-pelancongan negeri berkembang dan berdaya maju, maka rakyat Pulau Pinang khususnya penduduk setempat, dapat menikmati peluang pekerjaan yang wujud di samping menikmati keindahan alam semulajadi di sini,” jelasnya.

Parkir awam Empangan Teluk Bahang yang menelan kos RM478,000 berkenaan menyediakan 67 lot parkir iaitu 20 lot untuk bas, 32 lot (kereta) dan 15 lot (motosikal).