The Habitat diiktiraf sebagai Hutan Simpan Biosfera, harapan Allen Tan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

TAHUKAH anda bahawa negeri Pulau Pinang menyimpan khazanah hutan berusia 130 juta tahun?

Bagi mengurai persoalan tersebut, penulis dan jurugambar telah dibawa meneroka satu sisi lain Bukit Bendera iaitu The Habitat.

Untuk sampai ke destinasi, kami menaiki keretapi Bukit Bendera seperti biasa dan apabila tiba di puncak, berjalan terus ke arah kuil Hindu (di sebelah kiri, tidak perlu mendaki ke puncak) dan kelihatan pintu masuk gergasi The Habitat.

Sebaik melepasi pintu masuk, kami ‘disapa’ oleh keunikan bangunan kandang kuda era British yang dibina sekitar 1800-an.

Masih mengekalkan struktur binaan asal, suhu di dalam struktur bangunan tersebut adalah lebih nyaman pada waktu siang serta sedikit panas pada malamnya bagi mengimbangi suhu khatulistiwa dan tanah tinggi di sini.

Kini, ianya dijadikan kaunter tiket sebagai pintu masuk untuk membawa para pengunjung, khususnya pencinta alam semulajadi menerokai alam The Habitat.

Kedatangan kami disambut mesra oleh Pengarah Urusan The Habitat, Allen Tan sebelum diberi taklimat ringkas berdekatan sebuah dataran yang menghadap panorama Laut Andaman.

Menurut Allen, perjalanan kami bakal menempuhi trek berturap sejauh 1.6 kilometer (km) dan kepelbagaian spesies penghunipenghuni The Habitat bakal ‘menemani’ kami.

HIDUPAN FLORA & FAUNA

Haiwan pertama yang menyapa kami adalah seekor tupai berwana hitam kuning ala-ala beruang matahari coraknya.

Ianya dinamakan Black Giant Squirrel yang sememangnya besar daripada saiz tupai biasa dan sangat jinak.

Tanpa segan silu, ia berada begitu dekat dengan pengunjung sambil menikmati hidangan buahbuahan yang tumbuh melata di sini.

Antara spesies lain yang boleh dilihat adalah serangga bersaiz besar.

Rama-rama, ulat gonggok yang juga dipanggil ulat sepah bulan oleh masyarakat tempatan, beluncas, semut dan paling mengujakan adalah Tarantula (spesies labah-labah berbisa).

Menurut Allen, setiap bulan, The Habitat melalui Universiti Sains Malaysia (USM) giat menjalankan kajian di sini dan banyak spesiesspesies flora serta fauna terbaharu ditemui.

TARIKAN

Selain flora dan fauna yang unik, The Habitat turut menempatkan beberapa jenis tarikan menarik bagi dibawa pulang sebagai memori.

Contohnya, tiga buaian gergasi. Sambil dibuai, sambil menikmati kedinginan udara nyaman Bukit Bendera, panorama indah Laut Andaman dan suasana hutan dara yang penuh hiruk-pikuk fauna berpesta pastinya menenangkan jiwa yang gusar.

Sekiranya cuaca baik, pihak The Habitat juga akan mengeluarkan sebuah buaian gergasi mudah alih yang digantung di bawah pokok seakan-akan kelambu.

Bagi perancangan masa depan, Allen memberitahu bahawa The Habitat sedang memajukan sebuah titi gantung sepanjang 230 meter (m) yang menghubungkan lembahlembah di sini.

“Pengunjung juga boleh mencuba Zip Line atau lebih dikenali dengan nama Flying Fox merangkumi jarak sejauh 700m dan kemungkinan dinobatkan sebagai ‘terbang kelawar’ terpanjang di Pulau Pinang.

“Pastinya, Zip Line ini mampu menguji degupan jantung pengunjung yang bersedia menghadapi cabaran,” ujarnya dalam wawancara khas bersama Buletin Mutiara baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menyasarkan kedua-dua tarikan utama itu siap menjelang pertengahan tahun 2017.

“Selain keunikan alam semulajadi, Tree Top Walk menjanjikan pemandangan 360 darjah meliputi Gunung Jerai (Kedah), Seberang Perai, Laut Andaman dan Langkawi (jika cuaca baik).

Tree Top Walk dengan rekaan unik merupakan struktur bertangga dengan platform pada ketinggian 12m.

Sekiranya anda berjalan di laluan Tree Top Walk, ia bermakna anda berada di ketinggian 820m dari aras laut.

“Jika mahukan pemandangan lebih menarik, pengunjung disarankan datang ketika matahari terbenam dan sesuai untuk pasangan yang inginkan suasana romantis,’’ ujarnya lanjut.

Bagi pengunjung yang ingin datang ke sini, sila layari dan ikuti perkembangan semasa melalui laman Facebook, The Habitat.

HARAPAN

Allen meletakkan harapan tinggi terhadap The Habitat sebagai pusat kajian dan pembelajaran untuk dikunjungi dan diterokai semua lapisan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.

Malah, beliau juga yakin bahawa The Habitat mampu muncul sebagai pusat Eko Pelancongan Pulau Pinang bertaraf dunia serta mampu mendapat pengiktirafan dari UNESCO sebagai Hutan Simpan Biosfera.

“Saya ingin lihat The Habitat muncul sebagai pusat pendidikan setanding Hutan Simpan di Lembah Denom, Banjaran Crocker, Sabah dan The Royal Belum, Perak.

“Jika kita lihat di Kemboja, mereka ada sembilan hutan kajian biosfera seumpama itu, namun di Malaysia, kita baru punyai dua.

“Justeru, saya berharap The Habitat mampu muncul sebagai destinasi berikutnya,” seru beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang dan berkelulusan dalam bidang guaman.

Info menarik The Habitat @Bukit Bendera: • The Habitat@Bukit Bendera berkeluasan 10.04 ekar. • Beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, kecuali Rabu. • Bayaran RM20 bagi Dewasa dikenakan sekali masuk tidak termasuk Tree Top Walk.

Kanak-kanak dan warga emas RM10 dan pakej keluarga, RM50 (dua kanakkanak dan dua dewasa). Kanak-kanak di bawah umur tiga tahun adalah percuma. • Nombor telefon, 04 – 826 7677