The TOP bakal menjadi tumpuan dunia dengan pertambahan kepelbagaian tarikan menarik

Admin

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu bahawa lebih banyak lagi tarikan bakal diwujudkan dekat The TOP yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dalam usaha menjadikan mercu tanda Pulau Pinang berkaitan sebagai tumpuan masyarakat dunia.

Katanya, The TOP kini berjaya menjadi tapak ikonik Pulau Pinang selepas mengalami transformasi mega melibatkan peruntukan besar berjumlah RM200 juta yang dibiayai Only World Group (OWG).

“Ini menunjukkan wang RM200 juta yang dibelanjakan oleh Tan Sri Datuk Richard Koh (Ketua Pegawai Eksekutif OWG) tidak disia-siakan.

“(Dan) saya difahamkan akan ada lebih banyak rancangan-rancangan untuk menjadikan The TOP bukan sahaja sebagai tapak ikonik di Pulau Pinang dan wilayah utara Semenanjung Malaysia, tetapi juga (untuk) seluruh negara,” ucapnya dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran The TOP di sini 28 Februari lalu.

Hadir sama, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ar. Yew Tung Seang; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pengarah Eksekutif OWG, Tan Sri Datuk Richard dan isteri.

Guan Eng berkata, sehingga kini, terdapat beberapa tarikan istimewa di sini yang telah dibuka kepada umum, antaranya Rainbow Skywalk di tingkat 68 dan The Gravityz (tingkat 65).

“Turut akan diadakan pada masa akan datang adalah bungee jumping yang dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.

“Ini jelas menunjukkan bahawa mereka (rakyat) yang datang ke Pulau Pinang adalah mereka yang ‘berani’,” ujarnya.

Komtar merupakan sebuah kompleks serbaguna terdiri daripada pusat membeli-belah, pusat pengangkutan dan pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri yang mempunyai 65 tingkat dengan ketinggian 232 meter (m).

Selepas projek pengubahsuaian dilaksanakan pada tahun 2015, ia menambah tiga lagi tingkat kepada menara Komtar menjadikan ia kini 68 tingkat dengan ketiggian 249m.