Tidak sesekali akan benarkan loji tenaga kuasa nuklear di Pulau Pinang – KM

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PANTAI JEREJAK – Perubahan iklim global adalah isu kritikal yang tidak boleh dipandang mudah, sebaliknya menuntut perhatian serius daripada semua pihak dalam memastikan permasalahan berkenaan ditangani dengan lebih berkesan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2017 di sini baru-baru ini.

Katanya, pelbagai inisiatif penjagaan alam sekitar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar.

“Juga menggalakkan umum bagi menangani punca dan kesan pemanasan global, serta mewujudkan kesan menyeluruh dalam usaha memerangi pemanasan iklim.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri mempunyai visi untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar dengan persekitaran yang bersih, hijau, selamat, sihat dan ceria,” ujar Guan Eng.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato’ Maimunah Mohd Sharif (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Thing Siew Shuen (Pengurus Besar PGC).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sejak tahun 2010, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan kecekapan
sumber seperti khidmat bas CAT secara percuma, tiada beg plastik percuma setiap hari, larangan penggunaan bekas makanan polistirena, memberi insentif untuk bangunan hijau, penyediaan laluan basikal dan penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

“Malah, Pulau Pinang kini telah mencapai 38 peratus kadar kitar semula tertinggi di negara ini, berbanding 22 peratus kadar kitar semula negara.

“Harapan kita dengan penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca sejak 1 Jun lalu akan meningkatkan kadar (kitar semula) ini kepada 40 peratus menjelang tahun 2020,” jelasnya merangkap Pengerusi Penang Green Council (PGC) pada majlis berkaitan.

Dalam pada itu, Guan Eng sekali lagi melafazkan ikrar bahawa pentadbirannya tidak sesekali akan membenarkan Kerajaan Persekutuan membina loji tenaga kuasa nuklear di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang menentang pembinaan tersebut.

“Kita berharap Malaysia akan mengelak loji kuasa nuklear seperti Jerman.

“Banyak negara maju seperti Jerman telah menarik diri daripada penggunaan loji kuasa nuklear kerana risikonya terlalu besar, walau apapun perlindungan alam sekitar yang dilaksanakan!

“Perlu sedar bahawa kita tidak mewarisi bumi ini, tetapi hanya meminjamnya daripada anak-anak kita. Marilah bertindak terhadap perubahan iklim, jika tidak sekarang, bila lagi…,” seru beliau.