Tiga inisiatif penting manfaat komuniti Air Itam

AIR ITAM – Pelebaran Jalan Masjid Negeri daripada dua lorong kepada tiga lorong, pelebaran jalan dekat Lorong Batu Lanchang dan penubuhan perpustakaan digital pertama di Malaysia, Penang Digital Library (PDL) merupakan tiga inisiatif penting oleh Kerajaan Negeri terhadap komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai ketika ditemui berkata, ketiga-tiga inisiatif tersebut bukan sahaja memanfaatkan komuniti di Jalan Masjid Negeri, malah juga kepada komuniti di Jalan Cheeseman, Jalan Grove, Lorong Batu Lanchang dan penduduk di Air Itam amnya.

“Pelebaran Jalan Masjid Negeri telah siap baru-baru ini, manakala Lorong Batu Lanchang siap tahun lalu, begitu juga perpustakaan digital pertama di Malaysia, PDL yang kini beroperasi 24 jam sehari.

“Kawasan di Jalan Masjid Negeri ini juga memang padat dengan 750 unit kuarters Kerajaan Negeri yang menempatkan pegawai-pegawai kerajaan, juga rumah-rumah teres, rumah-rumah kedai, sekolah dan sebagainya.

“Uniknya kawasan di Air Itam ini merupakan kawasan yang paling ramai didiami oleh penjawat awam. “Jadi, dengan pelebaran jalan di sini, saya harap aliran trafik sesak dapat diredakan memandangkan ia merupakan jalan utama terpenting di sini,” ujarnya pada Majlis Temu Rapat dan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Masjid Negeri di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hon Wai berharap agar komuniti di sini dapat memanfaatkan kemudahan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Saya mahu melihat komuniti di sini menggunakan kemudahan yang ada di PDL, saya menyeru supaya mereka menggunakan fasiliti serba canggih di PDL bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat baharu, tetapi mempelajari sesuatu yang baharu untuk memajukan kendiri.

“Lagipun inisiatif ini adalah daripada Kerajaan Negeri untuk rakyatnya,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Majlis serba ringkas tetapi meriah itu turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK Jalan Masjid Negeri, Mohd. Farook; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid; ahli-ahli JKKK dan Briged Wanita Jalan Masjid Negeri, badan-badan bukan kerajaan (NGO) jemputan serta komuniti setempat.