Tindakan keras tebang pokok gaharu secara haram – Steven

Admin

Oleh: AH MAD ADIL MUHA MAD

BUKIT MERTAJA M – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa supaya satu tindakan lebih keras diambil terhadap individu atau syarikat yang didapati menjalankan aktiviti penebangan pokok karas atau lebih dikenali pokok gaharu secara haram di hutan simpan di negeri ini.

Gesaan itu dibuat berikutan aduan diterimanya pada 31 Mei lepas berhubung kegiatan haram yang didapati kerap berlaku di kawasan Hutan Simpan Cherok To’kun di sini.

Chee Keong berkata, penebangan pokok gaharu secara haram itu bukan merupakan suatu kes baru kerana ia telah dikenalpasti sejak
April lalu.

“Renjer-renjer dari Jabatan Perhutanan turut menyedari kegiatan haram ini dan telah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan aktiviti tersebut dapat disekat.

“Antaranya menjalankan Ops Jejak Karas, memasang papan tanda amaran dan bermalam di kawasan-kawasan hotspot,” tegasnya ketika membuat pemeriksaan di lokasi kejadian di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Samsul Kamal Buyong (Renjer Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang).

Chee Keong memberitahu, Kerajaan Pusat harus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membanteras kegiatan tersebut kerana ia merupakan isu nasional yang bukan hanya membabitkan negeri Pulau Pinang, malah juga Perak, Pahang dan Johor.

“Jadi, saya mencadangkan agar Kerajaan Pusat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membanteras gejala ini dengan menjalankan pemantauan terutama dalam kalangan pembeli iaitu pihak pengilang.

“Saya juga menyeru agar pembeli bijak memilih penjual sah yang mempunyai lesen pemindahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan
bagi mengekang kegiatan ini daripada terus berleluasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khai Loon berharap hukuman denda maksimum dapat dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab.

“Sebagai penyelesaian terdekat, saya harap agar komuniti, Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di kawasan masing-masing dapat bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan menjalankan pemantauan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan,” nyata beliau.