TKMI harap ‘situasi menang-menang’ dicapai di Bayu Nyaman

BAYAN LEPAS – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berharap ‘situasi menang-menang’ boleh dicapai secara bersama dalam rundingan antara peneroka bandar berwajib dan Hunza, selaku tuan tanah serta pemaju projek Bayu Nyaman di sini.

“Saya berharap masing-masing dapat mencapai apa yang dihajati, secara ‘situasi menang-menang’,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada Majlis Meninjau Struktur Bangunan Perumahan Projek Bayu Nyaman Siap Sampai Ke Bumbung (Topping Out) di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Hunza Properties Berhad (Hunza), Khor Siang Gin dan Gee Su Lyn (Pengarah Hunza Reality Sdn. Bhd.) turut berucap pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengasas Hunza, Datuk Seri Khor Teng Tong serta anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) bagi Sungai Nibong Kechil dan Sungai Nibong Tengah.

Difahamkan, Hunza membeli sebidang tanah tanah berkeluasan 43 ekar, meliputi kawasan kampung Sungai Nibong Kechil dan Sungai Nibong Tengah pada enam tahun lalu untuk pemajuan perumahan mampu milik setinggi 28 tingkat.

Hasil rundingan sehingga kini, kira-kira 730 daripada 823 pemilik rumah di kedua-dua kampung berkenaan  telahpun menerima pampasan pelbagai jenis daripada Hunza.

Baki terdapat 60 pihak lagi yang masih belum membuat pilihan, sama ada menerima pampasan berupa wang tunai atau ‘rumah ganti rumah’ daripada Hunza.

Bagi yang memilih pampasan ‘rumah ganti rumah’, mereka ditawarkan jenis rumah kluster atau rumah pangsa kos rendah di Bertam atau rumah kos rendah di Bayu Nyaman sendiri.

“Rumah kos rendah Bayu Nyaman ini sememangnya bersaiz rumah kos sederhana rendah.

“Ini bermakna, penduduk bernasib baik kerana diberi peluang untuk memilih rumah di dalam pulau ataupun di Bertam (dekat Seberang Perai Utara, SPU).

“Ini merupakan pakej pampasan yang baik dan bersesuaian di Pulau Pinang,” jelas Mohd. Rashid di depan lebih 100 tetamu serta penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Rashid menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya akan meluluskan sebarang pelan kebenaran merancang pembangunan yang dimohon oleh pemaju atau tuan tanah, sekiranya mengambil kira tuntutan yang wajar daripada penduduk berwajib.

Amalan Kerajaan Negeri ini, menurut beliau, adalah demi mewujudkan ‘situasi menang-menang’ dalam satu-satu rundingan membabitkan tuan tanah, pemaju dan penduduk berwajib.