Tubuh 1 JKKK, 1 Koperasi wajar dipertimbang – ADUN

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Cadangan menubuhkan 1 JKKK, 1 Koperasi wajar dipertimbangkan semua pihak dalam usaha merungkai isu kos sara hidup yang kian meningkat kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, walaupun isu kos sara hidup menjadi agenda Kerajaan Persekutuan, namun masih belum terlewat untuk Kerajaan Negeri memperkenalkan program-program atau skim-skim baharu yang menjadi perkara paling utama dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Pulau Pinang.

“Sewajarnya JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) mengambil peluang untuk menjana pendapatan dengan berkecimpung dalam pengurusan koperasi dan tidak hanya tertumpu pada program-program kemasyarakatan sahaja,” katanya ketika hadir merasmikan Mini Karnival Koperasi dan Usahawan 2014 di sini baru-baru ini.

Mini Karnival Koperasi dan Usahawan 2014 dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Timur Laut (DTL) di bawah MMK Pembangunan Masyarakat, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)

Hadir sama, Pegawai Daerah DTL, Azizi Zakaria.

Mini karnival yang diadakan selama tiga hari itu berjaya menarik penyertaan 25 buah koperasi dan usahawan dari pelbagai latar belakang perniagaan.

Jelas Lai Heng, Kerajaan Negeri kini bertekad untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana melalui penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan.

“Budaya berkoperasi perlu diterapkan memandangkan ia merupakan salah satu sumber untuk menjana bukan sahaja pendapatan JKKK itu sendiri, tetapi juga KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara keseluruhannya,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan lima teras strategik yang digariskan melalui Dasar Koperasi Negara 2011-2020 (DKN) mampu melonjakkan sumbangan koperasi dalam KDNK negara sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi anggota-anggota koperasi.

“Sekiranya cadangan menubuhkan 1 JKKK, 1 Koperasi dipersetujui, pastinya ia menuntut komitmen dan sokongan masyarakat umum khususnya dari segi pelaksanaan.

“Saya percaya dengan adanya inisiatif sebegini, koperasi pastinya boleh menjadi sebuah entiti usahawan yang mampu berdiri setaraf dan bersaing dengan sektor swasta dalam pasaran terbuka,” ujar beliau.