Tujuh kemalangan dalam tugas dapat ex-gracia MPSP 2017

Admin

SEBERANG JAYA – Tujuh kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mendapat bayaran skim Ex-Gratia Bencana Kerja bagi tahun 2017.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, pemberian exgratia tersebut adalah kepada kakitangan yang ditimpa kemalangan ketika melakukan tugas sahaja, selepas disahkan oleh doktor berwajib.

“Itulah kebajikan yang diberikan oleh MPSP pada tahun 2017…pemberian (exgratia) ini adalah berdasarkan keputusan doktor kesihatan kepada mereka yang layak,” jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh di Kompleks MPSP di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai sidang media itu.

Menurut Maimunah, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja bagi kakitangan MPSP berkuatkuasa pada 1 Julai 2011 adalah berdasarkan kelulusan Mesyuarat Majlis Penuh pada 30 Julai tahun berkenaan.

“Kita luluskan pada tahun 2011 dan pemberian kali pertama ex-gratia pada tahun 2012…kalau ada penerima yang layak, setiap tahun kita beri (ex-gratia).

“Sebelum itu, sepatutnya MPSP perlu beri (ex-gratia), tapi ketika itu (sebelum tahun 2011), tahap kesihatan kewangan MPSP tidak seperti hari ini,” ujarnya.

AHMAD ZULHAM JAMALUDDIN, 36, yang ditemui melahirkan penghargaan atas penerimaan RM53,848.80 Jumlah Bayaran Ex-Gratia Pukal (EXP), selepas disahkan mengalami 15 peratus taksiran Hilang Upaya Kekal (HUK).

Penolong Pegawai Senibina di Jabatan Perancang Bandar MPSP berkenaan, difahamkan, mengalami kemalangan jalan raya semasa dalam tugas, dengan patah tangan kanan dan kiri, putus urat tiga jari tangan, dagu terbelah, gigi hadapan bahagian atas patah, patah lutut kaki kiri, patah betis kaki kiri, patah pergelangan tangan kanan serta putus urat tangan kanan.

“Apa yang saya boleh kongsi, apa yang saya alami suatu kesakitan yang tidak dapat digambarkan.

“Sebenarnya, berbaloi lah jika dibandingkan apa yang saya hilang seumur hidup, sekurang-kurangnya ada lah (exgratia),” jelasnya yang 13 tahun masih dalam perjawatan di MPSP.