Tukar barang sempena sambutan Hari Bumi

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Karnival Tukar Dagang atau lebih dikenali sebagai sistem barter bakal diadakan di Occupy Beach Street (OBS), Lebuh Pantai pada 20 April ini (Ahad) di sini bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

Bertemakan ‘Sampah Anda, Harta Saya’, Penang Green Council (PGC) selaku pihak penganjur bersama OBS mensasarkan sebanyak 50 penyertaan keseluruhan dengan ruang dagangan masing-masing seluas 8 kaki x 10 kaki.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, penganjuran tersebut adalah bersempena sambutan Hari Bumi dan bagi menggalakkan amalan 3R (Kurangkan, Guna semula dan Kitar Semula) dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah untuk mewujudkan kesedaran awam tentang amalan sisa sifar serta mendidik generasi muda untuk menghargai nilai barangan terpakai.

“Aktiviti ini menyediakan platform yang baik kepada para peserta untuk menukar dagang barangan terpakai seperti peralatan rumah, alat permainan dan lain-lain.

“Selagi barangan tersebut masih dalam keadaan baik, ia boleh ditukar dagang. Ini merupakan aktiviti yang tidak melibatkan urus niaga tunai,” ujarnya pada sidang media pengumuman Karnival Tukar Dagang di sini baru-baru ini.

Selain acara tukar dagang, turut diadakan adalah demonstrasi kecergasan dan mempertahankan diri serta persembahan ‘live band’.
Orang ramai boleh membawa barangan terpakai seperti baju, surat khabar lama dan barang-barang untuk dikitar semula ada hari
penganjuran berkenaan.

Pendaftaran boleh dibuat secara talian menerusi www.pgc.com.my sebelum 15 April 2014 dengan yuran pendaftaran sebanyak RM20 atau hubungi 04 – 250 3321 untuk maklumat lanjut.