Tukar status premis perlu kelulusan PBT – Rashid

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Status tukar guna bangunan pangsapuri perkhidmatan membabitkan sebuah hotel yang terletak di dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak adalah tidak sah di sisi undang-undang dan polisi sedia ada, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon

Menurut Rashid, pengusaha premis tersebut tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan tukar guna kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Saya juga sudah menyemak dengan MBPP dan memang mendapati tiada langsung permohonan untuk menukar guna status premis dari sebuah bangunan hotel kepada penempatan pekerja bagi warga asing.

“Sebelum ini, saya menerima aduan daripada penduduk setempat yang juga mengemukakan bantahan kepada saya dan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut, saya menyarankan mereka (penduduk) memberi butiran bertulis kepada MBPP untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap pihak MBPP dapat mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha premis berkaitan sekiranya didapati melanggari undang-undang ditetapkan,’’ tegasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Pada sidang media sama, Jagdeep menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya memandang serius isu penempatan pekerja asing di negeri ini terutamanya berkaitan dengan masalah sosial, jenayah dan lain-lain.

“Kerajaan Negeri berkuat kuasa pada 30 Julai 2015, telah menggariskan beberapa perkara penting bersabit keperluan-keperluan di penempatan pekerja asing seperti keselamatan persekitaran, kerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Imigresen Malaysia, penggunaan sistem biometrik, penyediaan kemudahan asas seperti dewan, kantin, bilik rehat, bilik bacaan dan menonton, dobi, kedai serba guna, mesin ATM, peti surat dan hospital.

“Kemudahan seperti ini mampu meminimakan pekerja-pekerja asing ini keluar masuk dari penempatan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengurangkan impak sosial dalam kalangan penduduk setempat,” jelasnya.

Sebagai tambahan, Jagdeep turut menamakan lima penempatan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri dalam menangani kebergantungan menempatkan pekerja asing di penempatan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Lima loskasi tersebut adalah di Bukit Minyak, Seberang Perai Selatan (SPS); Permatang Damar Laut, Daerah Barat Daya (DBD); Juru, Seberang Perai Tengah (SPT); Permatang Tinggi, SPT dan Kawasan Perindustrian Valdor, SPS,”katanya.