Turap semula jalan Kg. Lembah Ria beri keselesaan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

AIR ITAM – Para penunggang motosikal kini tidak perlu bimbang lagi apabila melalui jalan Kampung Lembah Ria di sini setelah ia diturap semula demi keselesaan dan keselamatan pengguna-pengguna di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, kerja-kerja menurap semula jalan tersebut sejauh empat kilometer yang menelan belanja RM80,000 adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam memberi keselesaan kepada pengguna jalan kampung.

“Kini, bukan sahaja penunggang motosikal tidak lagi perlu elak lopak atau lubang sepanjang jalan tersebut, tetapi pemandu kereta juga boleh menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

“Jika kita lihat keadaan jalan di sini kini jauh lebih baik, luas, selesa dan selamat untuk pengguna serta memberi manfaat kepada lebih 90 buah keluarga yang tinggal di sepanjang laluan yang diturap semula di sini,” katanya ketika meninjau kawasan Jalan Kampung Lembah Ria di sini baru-baru ini.

Tambah Hon Wai, projek penurapan semula di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) tersebut cuma mengambil masa seminggu untuk siap dan ia menjadikan sejumlah 15 batang jalan telah diturap semula di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam dengan kos keseluruhan berjumlah RM508,000.