UD demi pastikan kesempurnaan fasiliti bangunan untuk semua

Admin

BERTAM – Permohonan pelan bangunan mestilah dikepilkan bersamasama pelan reka bentuk sejagat (UD), jika mahu mendapatkan kelulusan berwajib daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Mengulas lanjut, Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, langkah spesefikasi itu adalah demi memastikan kesempurnaan fasiliti bangunan untuk semua golongan termasuk orang kurang upaya (OKU).

“Universal design ini adalah untuk kita semua, bukan untuk OKU sahaja, daripada kanak-kanak sampai lah umur warga emas boleh akses fasiliti kerana adanya rekabentuk universal ini,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pemahaman dan Pelaksanaan Universal Design (UD) di sini barubaru ini.

Turut berada di pentas utama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan Ahli Majlisnya, Dr. Tiun Ling Ta yang juga anggota jawatankuasa Penang Accessibility Action Group (PAAG).

Menurut Maimunah, bengkel tersebut bakal merungkai beberapa kesalahan teknikal dan kesalahan fizikal di tapak, yang sering dilakukan oleh arkitek, jurutera, pemaju hartanah ketika menyediakan pelan serta pembinaan di tapak.

“Agar, ianya selari dengan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL – 34A, dan Malaysian Standard (MS – 1184),” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada lebih 80 peserta daripada pelbagai pihak.

Dalam bengkel itu, Ling Ta membentangkan tiga kertas kerja, iaitu Understanding The Principles of Universal Design; Basic Tactile Guide and Implementation; Public Sanitation Issues for People With Disabalities.

Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPSP, Baderul Amin Abdul Hamid pula membentangkan proposal Implementing the Standard Driveway.

Manakala, penceramah jemputan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ch’ng Gaik Ber @ Hajah Dalilah Bee Abdullah akan membentangkan dua proposal, iaitu Standard Building Plan Submission Specification to MS- 1184 Guide dan DBKL’s Experience on OKU Technical Issue.