Uji kreativiti cipta tanglung guna bahan terpakai

Teks & Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Uniknya Pesta Tanglung anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya adalah pertandingan mereka bentuk tanglung menggunakan bahan-bahan terpakai atau kitar semula.

Walaupun hanya memperoleh kira-kira 10 penyertaan daripada golongan kanak-kanak di sekitar kawasan tersebut, namun, kreativiti yang dipamerkan adalah amat mengangumkan.

Tidak terhad dengan reka bentuk tradisional, tanglung yang dihasilkan terdapat dalam pelbagai bentuk. Antaranya, berbentuk binatang, jentera pasukan Bomba dan Penyelamat, kapal dan lain-lain.

ADUNnya, Dr. Afif Bahardin berkata, penganjuran tersebut berjaya mengumpulkan kira-kira 100 penduduk pelbagai bangsa dan keturunan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan tahunan berkenaan.

“Selain Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Tenggiri, kejayaan menganjurkan program tersebut adalah hasil komitmen beberapa syarikat korporat di sini.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan bagi memupuk semangat muhibbah di antara kaum khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya,’’ katanya pada penganjuran Pesta Tanglung di sini baru-baru ini.

Acara kemuncak pesta itu adalah perarakan membawa tanglung mengelilingi kawasan perumahan di Jalan Tenggiri di sini yang turut disertai Pengurus Besar Sunway Hotel Seberang Jaya, Ben Ho dan Ketua Pegawai Operasi A TU Z, Evellin Thor Kah Suan.