Ultra Marathon 2014 komited tarik peserta global

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Buat julung kalinya,Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah penganjuran acara larian, Ultra Marathon2014 yang menjanjikan cabaran kental dari segi mental dan fizikal pada 6 September ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada pengumuman tersebut menyatakan bahawa objektif penganjuran acara tersebut adalah untuk menjadikan negeri ini sebagai salah satu destinasi larian yang menarik selain menggalakkan gaya hidup sihat, serta mempromosikan tempat-tempat menarik.

“Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan acara ini sebagai penganjuran larian bertaraf antarabangsa.

“Kita amat komited dan sedaya upaya menjadikan acara ini antara yang terbaik serta mampu diadakan setiap tahun di samping menarik penyertaan antarabangsa,” katanya pada sidang media pengumuman penganjuran acara berprestij berkenaan di sini baru-baru ini.

Penganjur utama Ultra Marathon 2014 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BetterPenang dengan kerjasama syarikat pengurusan acara, ActiveStyle Concept, Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP),

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Pengerusi BetterPenang, Andrew Loh Lean Hock.

Menurut Lean Hock, kategori pertandingan terbahagi kepada tiga iaitu larian meliputi 50 kilometer (km), 84km serta 100km.

“Laluan adalah merangkumi kawasan strategik dan menarik seperti kawasan perkampungan, pantai, hutan hijau, bandar warisan serta laluan mencabar.

“Bagi mereka yang menyertai acara larian 100km, laluan bertambah menarik apabila para peserta dikehendaki berlari ke Bukit Bendera sebelum mendaki setinggi 670 meter, turun semula dan menamatkan larian di Padang Kota Lama,” jelas beliau.

Tambahnya, umum yang membuat pendaftaran awal iaitu sebelum 1 April ini berpeluang mendapat potongan yuran penyertaan.

“Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 1 Julai 2014.

“Jumlah penyertaan bagi setiap kategori turut dihadkan iaitu 100 peserta bagi kategori 100km, 84km (250) dan 50km (200),’’ ujarnya.

Bagi mendapat keterangan lanjut, sila layari www.penangultra.com dan www. actifestyle.com .

Sementara itu, pada sidang media sama, Guan Eng turut menggesa Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pengangkutan yang diterajui Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein untuk menjelaskan secara lanjut status dan dasar penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PPSB).

“Kita telah dengar banyak ura-ura sebelum ini, tetapi ini adalah pengesahan yang diberikan oleh akhbar, The Edge Financial Daily tetapi kenapa tidak boleh buat pengumuman?

“Sebagai pemilik PPSB, Kerajaan Persekutuan perlu buat pengumuman terlebih dahulu berhubung status dan dasar penswastaan PPSB,” tegas beliau ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PPSB yang baru, Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman sebagaimana dilaporkan The Edge Financial Daily mengenai pengakhiran ketidakpastian di PPSB.

Tambahnya, ketidakpastian mengenai masa depan PPSB bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada perniagaan logistik di Pulau Pinang, tetapi juga mampu menjejas potensi ekonomi negeri ini.