Umat Islam P. Pinang sebagai ‘The Walking Al-Quran’ – Exco

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD 

KEPALA BATAS – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, Kerajaan Negeri amat berharap dapat menjadikan umat Islam di Pulau Pinang sebagai “The Walking Al- Quran” melalui program-program dakwah yang diatur sepanjang bulan Ramadan ini.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pada Program Seminar Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Millenium di sini baru-baru ini.

Menurut Malik, seminar tersebut diadakan bersempena dengan program sambutan bulan-bulan Al-Quran yang dijalankan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri berusaha memartabatkan agama Islam di Pulau Pinang melalui anjuran program-program berbentuk dakwah seperti ini sejak tahun 2010.

“Seminar ini merupakan siri ke-lima bersempena sambutan bulan-bulan Al- Quran iaitu bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Tambah Malik, selain dapat mendekatkan umat Islam dengan Al- Quran, diharapkan ia juga dapat menarik orang bukan Islam untuk mendekati
Islam.

“Program seumpama ini merupakan satu formula terbaik bagi mendekatkan semula umat Islam dengan kitab suci itu dan sunnah Rasullulah S.A.W.

“Saya berharap agar penghayatan Al- Quran ini bukan sahaja dapat mendekatkan umat Islam, malah dapat menarik minat orang bukan Islam untuk mendekati agama ini,” ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dan tiga panel, Prof. Datuk Ismail Ibrahim (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) Ustaz Roslan Mohamed (Universiti Malaya) dan Ustaz Hanafiah Abd. Razak (Jabatan Mufti Johor).

Bersempena penganjuran berkenaan, Dr. Wan Salim turut memberi syarahan kepada hampir 1,000 peserta yang hadir sebelum ketiga-tiga ahli panel membentangkan kertas kerja berkisarkan ibadah di bulan Ramadan.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Rashid, sambutan bulan-bulan Al-Quran bertemakan, ‘Penghayatan Al-Quran Mengukuh Ukhuwah, Memartabat Islam’ tersebut diharap dapat mengukuhkan silaturrahim sesama manusia.

“Saya berharap umat Islam khususnya di negeri dapat menghayati ayat-ayat Al-Quran dan mengamalkannya.

 “Semoga para hadirin yang hadir mendapat ilmu yang boleh dikongsi antara satu dengan lain dan memperbaiki hubungan sesama manusia agar dapat merealisasikan tema pada tahun ini,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.