Umum diseru b e r s a m a – sama jaga kemudahan r e k r e a s i Bukit Jambul

BATU UBAN – Hasil pertemuan sehari bersama-sama pihak berkepentingan, tandas awam di laluan pendakian ke puncak Bukit Jambul kembali berfungsi dan sebahagian jalan ke kaki bukit turut diturap semula.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan komuniti Kelab Pendaki Bukit Jambul duduk semeja pada 5 Februari lalu bagi mencari penyelesaian terhadap beberapa permasalahan yang timbul sebelum ini.

Perbincangan dipengerusikan Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang antara lain memberikan fokus terhadap fungsi tandas awam di tengah laluan pendakian ke Bukit Jambul yang sebelum ini menjadi rungutan orang ramai.

“Saya difahamkan PBAPP akan memulihkan semula bekalan air sejurus menggantikan peralatan yang dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kesulitan kepada pendaki di kawasan ini termasuk menurap jalan ke kaki bukit.

“Oleh itu, saya ingin menasihati agar (orang ramai) menjaga kemudahan yang ada di kawasan rekreasi ini untuk kepentingan semua, mereka juga boleh menjadi ‘mata dan telinga’ bagi memantau jika ada cubaan merosakkan kemudahan di sini,” katanya pada sesi perbincangan berkaitan baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha; wakil PBAPP, Mohd. Nasir Noordin; wakil PDC dan Presiden Kelab Pendaki Bukit Jambul, Heng Yak Hoi.

Difahamkan permasalahan kerap timbul apabila kemudahan awam di Bukit Jambul dicuri melibatkan pam air, kabel elektrik dan kecurian-kecurian lain.

Pada sesi pertemuan tersebut, perbincangan berkenaan penambahbaikan laluan ke kawasan puncak dan dewan kelab turut dibincangkan demi keselesaan orang ramai untuk beriadah di sini.