Upah buruh asing, PR sebagai pembantu tukang masak di gerai MPSP bersyarat – YDP

Admin

SEBERANG JAYA – Buruh asing dan mereka yang mendapat pemastautin tetap (PR) boleh diambil bekerja sebagai pembantu tukang masak sahaja di gerai-gerai milik Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), tetapi mesti mengikut syarat terbaru yang digariskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif mengumumkan ketetapan itu, susulan mengambil kira hasil kaji selidik lapangan yang dilaksanakan barubaru ini.

“Mereka hendaklah mematuhi semua keperluan dan dokumen ditetapkan oleh Undang-Undang Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi melakukan pekerjaan.

“Pembantu atau pasangan berstatus warganegara asing atau pemastautin tetap (PR) hendaklah mematuhi syarat dan keperluan Jabatan Kesihatan Malaysia, iaitu suntikan TAB dan kehadiran ke Kursus Asas Pengendalian Makanan, jika berkaitan premis makanan.

“Dilarang mengambil warga asing sebagai tukang masak,” jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta barisan Ahli Majlis bagi PBT berkenaan turut sertai sidang media tersebut.

Menurut Maimunah, pembaharuan dasar terdahulu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Penguatkuasaan MPSP pada 13 Mac lalu dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Penuh pada 30 Mac lepas.

“Bagaimanapun , memandangkan dasar tersebut mendapat tentangan daripada peniaga, Majlis telah mengkaji semula dasar berkenaan dengan mengambil kira pandangan dan cadangan yang diperoleh melalui kaji selidik Majlis bermula pada 27 April hingga 10 Mei 2017,” katanya sambil memberitahu bahawa dasar terbaru berkenaan adalah lebih longgar berbanding sebelumnya.

Tambah Maimunah, cadangan dasar terbaru tersebut akhirnya diluluskan dalam Mesyuarat Penuh pada 29 Mei lalu.

Bagi premis perniagaan masakan laut, tambah beliau, jumlah pembantu berstatus warganegara tempatan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah semua pekerja ketika waktu restoran atau premis terbabit beroperasi.

Pun begitu, katanya, buruh asing dan PR dilarang bekerja sebagai pembantu penjaja di semua pasar malam, uptown, pasar tani, bazaar Ramadan, penjaja bergerak atau penjaja statik, serta trak makanan atau trak perkhidmatan.

“Bagi penjaja di kompleks penjaja swasta, jumlah pekerja warganegara tempatan mestilah sekurang-kurangnya 30 peratus ketika beroperasi,” respons Maimunah.

Tegasnya, dasar terbaru berkenaan mula dilaksanakan pada 1 Julai ini.

“Tindakan rampasan terhadap barang perniagaan milik penyewa gerai Majlis dan pemegang lesen untuk dijadikan sebagai eksibit kes pendakwaan di mahkamah, jika gagal mematuhi pelaksanaan dasar,” ujarnya.