Usaha KN perkasakan IKS lancar – Rashid

GEORGE TOWN – Lebih 300 pemain industri kecil dan sederhana (IKS) dan usahawan hadir pada penganjuran Forum Business Symposium Sustainable Development in SME’s bagi meninjau peluang perniagaan menerusi perkongsian peluang serta pengalaman di sini baru-baru ini.

Program julung kali dianjurkan Kerajaan Negeri melalui MMK Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat tersebut bertujuan memperkasakan ekonomi IKS serta mengeratkan lagi hubungan antara usahawan tempatan dengan pentadbiran negeri.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga merupakan Exco berkaitan memberitahu bahawa jumlah kehadiran hampir sekali ganda daripada jumlah jangkaan itu menunjukkan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan IKS adalah berjalan lancar.

“Kerajaan Negeri hanya boleh menyediakan platform asas kepada usahawan, sekiranya dimanfaatkan dengan baik, ia pasti memberi pulangan yang lumayan,’’ ucapnya pada majlis perasmian program berkaitan.

Hadir sama selaku penceramah, Datuk Michael Tio dari PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Datuk James Foo (Snappars Publishing), Daniel Chow (akauntan dari DCC) dan C.C. Ngei (Pengarah Urusan Feruni Ceramiche Sdn. Bhd.).

Turut serta, wakil-wakil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Antara topik perbincangan pada simposium tersebut adalah berkisar kepada pengurusan pemain industri dalam mendepani Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penjenamaan industri berasaskan nilai demi kelestarian masa hadapan.