Usaha sia-sia jika rakyat tidak ubah sikap sayang sungai

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kontrak pembersihan Sungai Pinang di sini melibatkan perjanjian bernilai RM5.8 juta selama tiga tahun akan menjadi sia-sia sekiranya penduduk Pulau Pinang tidak mengubah sikap menyayangi sungai-sungai yang terdapat di negeri ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow bagi mengulas penawaran kontrak pembersihan sungai kepada syarikat industri air, iQPR Sdn. Bhd. (iQPR) di sini baru-baru ini.

Melalui perjanjian tersebut, iQPR berperanan membersih dan memulihkan kualiti Sungai Pinang dan jajarannya dari tahap empat iaitu tercemar teruk pada skala pencemaran kepada tahap dua (bersih).

Menurut Kon Yeow, selain masalah pencemaran yang sudah terlalu lama berlaku, pembersihan Sungai Pinang bukanlah satu tugas
mudah memandangkan jaringannya adalah sejauh 3.6 kilometer tidak termasuk jajaran yang masuk ke sungai tersebut.

“Ditambah juga dengan beberapa faktor lain seperti penyaluran terus sisa pencemaran ke dalam sungai dan sikap penduduk Pulau Pinang yang dilihat perlu diubah,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke makmal iQPR di sini baru-baru ini.

Pada sesi lawatan tersebut, kakitangan iQPR turut menunjukkan beberapa demonstrasi menukarkan beberapa sifat air (cecair) secara proses di dalam makmal membabitkan aspek kepekatan dan rasa.

Tambah Kon Yeow, sejak 2010 hingga 2013, bagi setiap tiga bulan pertama, iQPR akan menjalankan proses rawatan tersebut secara percubaan dan kesannya mulai dikesan di beberapa kawasan Sungai Pinang seperti di bahagian belakang Stadium Bandaraya yang mana kini sudah kelihatan sedikit jernih.