Usahasama pulihara Sg. Derhaka MPSP, dua syarikat diteruskan

Admin

SEBERANG JAYA – Usahasama projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat South Island Garment Sdn. Bhd. (SIG) dan Armstrong Technology Sdn. Bhd. bersama-sama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan diteruskan bagi merawat air Sungai Derhaka di sini.

Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak 11 kali lontaran bebola selut (mud balls) dilaksanakan dan inisiatif CSR sebelum ini dikenal pasti menunjukkan hasil.

“Persampelan air sungai ini juga telah diambil sebanyak tiga kali untuk bacaan ujian biological oxygen demand (bod), carbon dioxide demand (cod), suspended solid (ss) dan potential of Hydrogen (ph).

“Hasil daripada persampelan ini, terdapat penambahbaikan kualiti air dalam bacaan kedua, berbanding bacaan pertama. “Namun, bagi bacaan ketiga, terdapat kemerosotan terhadap kualiti air untuk keempat-empat jenis ujian yang dijalankan,” katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Pemuliharaan Sungai Derhaka di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar SIG, Lim Eng Chuan dan Loy Cheah (Pengurus Operasi Armstrong Technology Sdn. Bhd.).

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, usaha memulihara kualiti air di bahagian Seberang Perai sebenarnya perlu dilaksanakan secara berterusan.

Justeru, ujarnya, MPSP memerlukan komitmen sektor korporat serta komuniti setempat demi memulihara semula kualiti air sungai negeri.

“Selain tidak menyalurkan air limbah atau grey water sewenang-wenangnya ke dalam sungai, kita (MPSP) juga perlu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat, agar tidak membuang sampah merata-rata sehingga mengganggu ekosistem alam,” serunya.