USJ PDRM perlu lebih ramai anggota – MP

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

BERAPIT– Unit Siasatan Jenayah (USJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan lebih ramai anggota supaya insiden seorang polis dalam tugas diserang dipercayai lebih 20 warga asing di Bukit Tengah tidak lagi berulang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata demikian selepas melawat mangsa, Koperal Khosim Hat yang masih menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.

“Orang seperti Koperal Khosim Hat (Khosim) ini merupakan anggota contoh, di mana beliau benar-benar berkhidmat melawan jenayah sehingga merisikokan bahaya pada nyawa sendiri.

“Sudah beberapa kali saya katakan di Parlimen supaya bilangan mereka yang melawan jenayah ini tidak boleh 10 peratus sahaja, tetapi mesti ditingkatkan lagi.

“Ini penting supaya polis betul-betul mampu melawan jenayah dan melindungi masyarakat kita,” jelasnya kepada wartawan, selepas menyampaikan buah tangan kepada keluarga mangsa.

Ketua Balai Polis Bukit Mertajam, Inspektor M. Ganesh, timbalannya, Sarjan Major Eong Andim dan Tan Keng Chao (Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam) turut sertai lawatan ringkas itu.

Terdahulu, mangsa dipercayai diserang oleh lebih 20 warga asing semasa membanteras aktiviti perjudian di sebuah kilang memproses makanan ayam di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah (OCPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor dalam satu kenyataan berasingan dilaporkan berkata, lapan lelaki Nepal serta lima wanita Vietnam dan Indonesia ditahan berhubung kejadian tersebut.

Khosim merupakan anggota Unit Peronda Bermotosikal dari USJ Ibu Pejabat Polis Daerah SPT.}