Walimatul’urus Perdana 2.0, rai 22 pasangan mempelai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING & PPK

PULAU BETONG – Seramai 22 pasangan pengantin diraikan serentak dalam majlis penuh gemilang, Majlis Walimatul’urus Perdana 2.0 (WUP 2.0) yang diadakan di perkarangan Masjid An-Nur, Kampung Titi Teras dekat sini baru-baru ini.

Rata-rata pasangan mempelai yang ditemui berasa teruja apabila terpilih untuk menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai anjuran Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Jawatankuasa Kebajikan dan Kesejahteraan Keluarga, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong.

Pada majlis berkaitan, pasangan raja sehari dibawa berarak menaiki bas pelancongan, Penang Hop Off Hop On (HOHO) dari Masjid Daerah Barat Daya ke Masjid An-Nur sejurus majlis ijab kabul jama’ie selesai.

Kesemua pasangan pengantin diijabkabulkan oleh tiga jurunikah dari MAINPP.

Mereka kemudiannya disambut dengan paluan kompang, bunga manggar dan persembahan silat pendekar sebelum diarak masuk bagi majlis santapan mempelai secara beramai-ramai di pentas utama.

Hadir meraikan pasangan mempelai, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Nor Azizah Haron; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid Pengarah WUP 2.0 yang juga Ahli Majlis MAINPP, Mohd. Tuah ketika ditemui berkata, majlis perkahwinan secara beramai-ramai tersebut
diadakan buat kali kedua setelah mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya daripada pasangan muda yang ingin mendirikan rumahtangga.

“Sebelum ini, pada tahun 2015, 18 pasangan pengantin terpilih diraikan dan tahun ini, 22 pasangan pengantin terpilih pula diraikan dalam majlis yang penuh gemilang.

“Tujuan asal penganjuran majlis ini adalah bagi membantu golongan belia, khususnya untuk mendirikan rumahtangga tanpa mengeluarkan belanja yang tinggi di samping dapat melakar sejarahnya tersendiri.

“Lagipun kahwin beramai-ramai macam ni lebih meriah,” ujarnya yang juga PPK Pulau Betong.

Difahamkan, setiap pasangan hanya perlu mengeluarkan belanja RM2,300 sebagai bayaran penyertaan yang merangkumi urusan akad dan nikah, perkhidmatan jurunikah, penyediaan makanan, acara makan beradab dan kad undangan perkahwinan.

Setiap pasangan boleh menjemput sehingga 300 tetamu untuk hadir memeriahkan majlis perkahwinan masing-masing.

 


Kategori: Bahasa Malaysia, Semasa

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives