Wang bantuan kepada mangsa banjir Pulau Pinang, pembayaran paling besar dalam sejarah negara

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatat sejarah tersendiri apabila menyumbang wang bantuan kepada mangsa banjir paling besar dalam sejarah negara ini, iaitu RM33,896,800 kepada 48,424 pemohonan yang diluluskan.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Sumbangan Program Bantuan Khas One-Off Bencana Banjir Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Daerah Timur Laut di sini 16 Disember lalu.

“Pembayaran ini adalah yang paling besar dalam sejarah Malaysia, bahkan Kerajaan Persekutuan pun tidak bayar sampai RM700, yang mereka (Pusat) bayar paling besar ialah RM500.

“Seramai 41,892 penerima memilih untuk wang bantuan dimasukkan terus ke dalam akaun semalam, dan anda hari ini (16 Disember) memilih untuk menerima secara terus,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis berkaitan.

Hadir sama, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri bersama ADUN-ADUN Daerah Timur Laut.

Tambah Guan Eng, Pulau Pinang juga mencatat sejarah apabila berjaya ‘membersihkan’ negeri ini cuma dalam tempoh masa 10 hari.

“Ada yang datang nak bantu, tetapi semua telah bersih, mereka terperanjat, dan saya ingin ucapkan tahniah atas sikap bersatu-padu dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Program Pulau Pinang Bangkit termasuk agensiagensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita (Kerajaan Negeri) juga berjaya sampaikan bantuan kewangan dengan cepat dalam tempoh 12 hari permohonan sahaja.

Kita (Kerajaan Negeri) nekad bayar sebelum akhir tahun kerana kita (Kerajaan Negeri) faham pada akhir tahun bakal melibatkan perbelanjaan yang banyak seperti persekolahan dan sebagainya,” ulasnya lanjut.