Wang ihsan banjir, ADUN terkilan dengan ketelusan Pusat bawah BN sebelum ini

Admin

DATUK KERAMAT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo meminta kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini supaya menjawab sendiri kepada rakyat Pulau Pinang berhubung pemberian wang ihsan yang dilihat seakan-akan ‘pilih bulu’.

Menurut Jagdeep, melalui jawapan yang diberikan pada persidangan Parlimen lalu, Kerajaan Pusat menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) menghulurkan wang ihsan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang pada pertengahan Mac 2018.

“Ia (pemberian wang ihsan) membabitkan 22,534 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah peruntukan RM5.63 juta… bermakna setiap isi rumah hanya menerima RM250.

“Berbanding Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memberikan RM1,100 kepada mangsa-mangsa banjir September (RM400) dan November (RM700) tahun lalu (2017)…itupun bukannya kita (Kerajaan Negeri) mempunyai tabung khas bencana seperti Pusat.

“Bukankah tabung bencana Pusat membenarkan pemberian sehingga RM500 untuk setiap mangsa banjir. Kenapa hanya RM250 sahaja?

“Bukan itu sahaja, melalui rekod kita (Kerajaan Negeri) juga terdapat 64,128 mangsa yang terkesan akibat kedua-dua peristiwa banjir, kenapa Pusat hanya memberikan wang ihsan kepada 22,534 KIR sahaja?

“Bagaimana dengan yang lain? Mengapa hanya orang tertentu sahaja menerima wang ihsan banjir Pusat?” soalnya yang agak terkilan dengan ketelusan Pusat di bawah BN sebelum ini dalam membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir memaklumkan kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di Lengkok Perak kepada Persatuan Bomba Sukarela Perak Lane di sini 7 April lalu.

Difahamkan, tapak di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 1,657 kaki persegi (kp) di Lengkok Perak akan diguna pakai oleh persatuan bomba sukarela berkaitan untuk menempatkan kenderaan termasuk sebuah bot, sebuah kenderaan pelbagai guna dan dua jentera pemadaman api pada kadar RM1,000 setahun.