Wanita hari ini bijak – Rashid

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Karnival Usahawan Wanita Pulau Pinang 2015 yang berlangsung selama empat hari baru-baru ini telah membuka peluang buat usahawan wanita di negeri ini untuk memperkenalkan produk dan memperluaskan pasaran perniagaan masing-masing di sini.

Tinjuan Buletin Mutiara mendapati, rata-rata usahawan-usahawan berkaitan menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam membantu mereka mempromosikan produk-produk dihasilkan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon merangkap Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat berkata, karnival yang dianjurkan tersebut adalah bagi meraikan kejayaan dan pencapaian wanita dari pelbagai sektor.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengiktiraf dan menggalakkan pembangunan wanita dalam bidang usahawan dan perniagaan.

“Dalam segala hal, kaum wanita merupakan penyumbang besar pada aspek kemasyarakatan dan negara, Malaysia. “Malah, wanita hari ini bijak, berkebolehan, aktif mengejar peluang dan mampu menyahut cabaran dalam alam kerjaya,” ujarnya pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Wanita Pulau Pinang 2015 yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah A. Bakar.

Bertemakan, “Jadikan Kenyataan’, karnival tersebut dianjurkan syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC), PWDC dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I.

Menurut Chong Eng, mengikut Banci Ekonomi 2011 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dimiliki wanita adalah setakat 20 peratus sahaja iaitu kira-kira 127,000 perusahaan milikan, malah, mengikut saiz pertubuhan, majoriti PKS milikan wanita adalah bersaiz mikro iaitu 88.0 peratus.

Beliau memberitahu, wanita mampu berjaya sekiranya mempunyai azam yang kuat, tekun bekerja dan memajukan kebolehan diri sendiri.

“Saya menyeru usahawan wanita untuk berani tampil ke hadapan dan memikirkan idea produk yang kreatif dan inovatif, terutamanya dalam bidang pembuatan, teknologi, perubatan serta lain-lain.

“Semangat keusahawanan itu tidak harus terhad kepada bidang makanan, pakaian dan kecantikan sahaja,” seru Chong Eng.