Wanita perlu diberi perhatian dalam sukan – Exco

Gambar: NAZLEEN NAJEEB

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng menyeru supaya jawatankuasa pengurusan sukan supaya turut memberi perhatian kepada golongan wanita dalam bidang berkaitan.

Katanya, sukan sering kali dianggap sebagai arena bagi golongan lelaki.

“Justeru, ia (persepsi) ini harus dikikis kerana golongan wanita bukan kaum yang lemah,’’ ucapnya pada Majlis Seminar Pengurusan Sukan di sini baru-baru ini.

Berslogankan ‘Merancang dan Mengatur Strategi, Memberi Inspirasi dan Motivasi kepada Individu’, seminar tersebut dihadiri lebih 100 peserta yang bergiat dalam pengurusan sukan peringkat negeri.

Chong Eng dalam pada itu turut menggesa jawatankuasa sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) supaya bekerja keras dalam menganjurkan acara-acara sukan bagi menarik minat muda-mudi di sini.

“Pendekatan tersebut secara tidak langsung dapat mengelakkan golongan belia terlibat dengan aktiviti kurang sihat seperti gejala sosial dan sebagainya,’’ jelasnya.

Tambah beliau, selain pengurusan berkesan, perubahan dan semangat perlu datang daripada atlet sendiri terutamanya dalam menjadi antara kalangan yang terbaik.

“Tidak dilupakan juga soal disiplin, pemilihan jurulatih yang baik mampu menjana tauladan kepada barisan atlet untuk mencipta kejayaan,” jelasnya.