Warga emas, ibu tunggal terima sumbangan Aidiladha

Gambar : MARK JAMES

AIR ITAM– Seramai 40 warga emas dan ibu tunggal di sini menerima sumbangan beras pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidiladha dan Mesra Rakyat anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Masjid Negeri di sini.

Perasmian majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 250 tetamu itu disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo.

Turut sama, Pegawai Daerah Daerah Timur Laut, Azizi Zakaria dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dr. Tan Kim Hooi.

Selain penduduk setempat, turut memeriahkan majlis adalah jemputan khas dari rumah-rumah kebajikan dalam kawasan Air Itam dan Jawatankuasa Qariah Masjid Negeri. Majlis diserikan dengan persembahan qasidah oleh dua kumpulan qasidah terkenal di Pulau Pinang iaitu dari Maahad Tahfiz Tanjung Bungah dan Kumpulan Qasidah Ustaz Suhaidi.